JAKARTA: Polis Negara Indonesia (Polri) menggerakkan unit khas bersama Agensi Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) bagi memperhebatkan operasi mencari sekumpulan petugas media yang hilang selepas bot dinaiki mereka terputus hubungan ketika membuat liputan letusan Gunung Anak Krakatau, lapor Antara.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, difahamkan, kumpulan itu membabitkan jurugambar Antara, M Bagus Khoirunnas, Arie Basuki (Merdeka), Yudhistira (iNews), Daus (Anadolu Agency), jurugambar bebas Donal Husni serta dua lagi individu yang identitinya masih disahkan pihak berkuasa.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Negara, Inspektor Jeneral Johnny Eddizon Isir berkata, pihaknya komited memberikan sokongan operasi sepenuhnya bagi mengesan semua kru yang hilang.
Menurutnya, Polri akan terus bekerjasama dan memberikan sokongan maksimum dalam operasi pencarian berkenaan dengan harapan semua kru media terbabit ditemukan dalam keadaan selamat.
“Kami berharap semua kru media dapat ditemukan dalam keadaan selamat secepat mungkin,” katanya.
Menurut polis, kumpulan itu dilaporkan bertolak dari Jeti Pagedongan di Carita pada kira-kira jam 2 petang Isnin menaiki bot laju menuju ke Gunung Anak Krakatau.
Komunikasi terakhir dengan bot berkenaan direkodkan pada jam 2.42 petang sebelum semua isyarat terputus pada jam 3.04 petang.
Susulan kehilangan itu, Direktorat Kepolisian Perairan (Ditpolair) Wilayah Banten bekerjasama dengan Basarnas dan pasukan pencarian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat di sekitar lokasi terakhir bot berkenaan diketahui berada.
Semalam, Ketua Subdirektorat Rondaan Polis Air dan Udara Wilayah Banten, Ajun Pesuruhjaya Kanan Polis (AKBP) Lis Handayana berkata, operasi dilaksana sehingga 10.31 malam Selasa sebelum ditangguhkan dan disambung hari ini.
Beliau turut mengesahkan, keadaan kekal terkawal sepanjang fasa awal operasi pencarian. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






