Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Pengguna yang terpaksa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan semula kenderaan yang dihantar bagi tujuan pembaikan di bawah waranti berhak menuntut kerugian sekiranya kelewatan itu berpunca daripada pihak pembekal.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh, berkata hak berkenaan diperuntukkan di bawah Seksyen 41 Akta Perlindungan Pengguna 1999 sekiranya pembekal gagal memenuhi tanggungjawab dalam tempoh yang munasabah.
Beliau berkata, situasi itu boleh membebankan pengguna apabila mereka masih perlu membayar ansuran bulanan kenderaan walaupun kereta berada di pusat servis selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.
Menurutnya, pengguna dalam tempoh berkenaan juga mungkin terpaksa menanggung kos tambahan termasuk menyewa kenderaan atau menggunakan perkhidmatan e-panggilan bagi meneruskan urusan harian.
“Pengguna tidak sepatutnya dibiarkan menunggu tanpa kepastian sedangkan kelewatan pembaikan itu bukan berpunca daripada mereka.
“Di bawah Seksyen 41 Akta Perlindungan Pengguna 1999, pengguna boleh menuntut kerugian daripada pembekal sekiranya gagal memenuhi (tanggungjawab) dalam tempoh yang munasabah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Sehubungan itu, pengguna yang berdepan kelewatan pembaikan kenderaan di bawah waranti wajar mendapatkan penjelasan daripada pihak pembekal berhubung tempoh penyelesaian dan menyimpan rekod berkaitan segala kos tambahan yang ditanggung akibat kelewatan berkenaan.
IMedikel TV






