Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Pemilik Lamborghini Huracan yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta antara 11 pemilik kenderaan mewah yang berdepan tindakan tegas selepas kenderaan mereka disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menerusi Operasi Luxury, 3 September lalu.
Operasi berkenaan dijalankan di beberapa lokasi di negeri ini dengan kesemua kenderaan terbabit disita serta-merta selepas pemiliknya didapati melakukan kesalahan tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), termasuk perlindungan insurans.
Berdasarkan hantaran di media sosial JPJ Pulau Pinang, tindakan penyitaan itu dilakukan susulan pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit yang mendapati pemilik gagal memastikan keperluan ditetapkan dipatuhi.
JPJ Pulau Pinang berkata, sikap tidak bertanggungjawab pemilik kenderaan berkenaan turut mengakibatkan kerugian hasil kerajaan yang dianggarkan melebihi RM20,000.

“Antara yang paling mencuri tumpuan dalam sitaan tersebut ialah sebuah supercar Lamborghini Huracan yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berkuasa tinggi itu memandu dengan LKM yang telah tamat tempoh sejak Jun 2026,” katanya.
Menurutnya, nilai LKM atau cukai jalan setahun bagi kenderaan mewah berspesifikasi tinggi seperti itu adalah mencecah RM12,000.
Keadaan itu menunjukkan pemilik kenderaan mewah juga tidak terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan sekiranya gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
JPJ Pulau Pinang menegaskan nilai atau status sesebuah kenderaan bukanlah tiket untuk pemiliknya melanggar peraturan, termasuk berkaitan LKM dan perlindungan insurans.
“Tindakan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dilaksanakan secara telus dan agresif tanpa kompromi terhadap mana-mana individu, termasuk pemilik kenderaan mewah.
“Pihak berkuasa mengeluarkan amaran keras kepada semua pemilik kenderaan agar tidak culas khususnya golongan berkemampuan yang memiliki kenderaan mewah supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya sedia ada,” katanya.
JPJ Pulau Pinang turut menegaskan operasi berkenaan menjadi peringatan kepada semua pemilik kenderaan supaya tidak mengambil mudah kewajipan mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
Menurutnya, penguatkuasaan akan terus dilaksanakan tanpa mengira nilai atau status kenderaan yang dimiliki seseorang.
“Operasi ini membuktikan bahawa tiada siapa yang kebal daripada tindakan undang-undang,” katanya.
IMedikel TV






