KUALA LUMPUR: Benarkah legenda bola sepak negara, Datuk Abdah Alif, mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis yang difahamkan berusia 20 tahun?
Memetik laporan Berita Harian, persoalan itu mula menjadi perhatian selepas gambar bekas pemain handalan skuad Harimau Malaya itu bersama seorang wanita yang dipercayai pasangannya tular di media sosial.
Gambar berkenaan memperlihatkan Abdah, 72, bersama wanita terbabit dalam suasana dipercayai majlis perkahwinan, sekali gus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mengenai status sebenar legenda berkenaan.
Usaha wartawan mendapatkan pengesahan daripada Abdah berhubung gambar tular itu bagaimanapun gagal selepas beliau tidak dapat dihubungi.
Usaha mendapatkan penjelasan daripada adiknya, Datuk Yunus Alif yang juga bekas pemain kebangsaan dan jurulatih, turut menemui jalan buntu apabila panggilan tidak berjawab.
Bagaimanapun, sumber terdekat yang juga terdiri daripada bekas rakan sepasukan Abdah memaklumkan bahawa gambar perkahwinan berkenaan adalah benar dan majlis membabitkan pasangan itu difahamkan berlangsung baru-baru ini.
Sumber terbabit bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut mengenai tarikh serta lokasi majlis berkenaan.
Sekiranya benar, berita perkahwinan itu pastinya menarik perhatian ramai, apatah lagi Abdah adalah antara pemain yang pernah menjadi tonggak penting skuad kebangsaan ketika negara berada pada era kegemilangan bola sepak sekitar penghujung 1970-an dan awal 1980-an.
Abdah bukan sahaja dikenali sebagai antara pemain berbakat besar ketika itu, malah namanya terpahat dalam sejarah bola sepak negara selepas menjadi sebahagian daripada skuad yang berjaya melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980.
Skuad kebangsaan ketika itu menampilkan barisan pemain hebat seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir Ismail dan beberapa lagi, selain Abdah yang turut memainkan peranan penting dalam kempen kelayakan.
Malaysia mencipta sejarah apabila menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan penentuan untuk mengesahkan tiket ke Olimpik Moscow.
Namun, impian Abdah dan rakan-rakan sepasukan untuk beraksi di pentas Olimpik tidak kesampaian selepas Malaysia mengambil keputusan memboikot temasya berkenaan sebagai tanda bantahan terhadap tindakan Kesatuan Soviet Union menceroboh Afghanistan.
Setakat ini, persoalan berkenaan masih belum mendapat pengesahan daripada Abdah mahupun keluarga terdekat bekas pemain negara itu. – BH Online –
IMedikel TV






