Home Buletin Semasa EKSPLORASI ALAM KENERONG UJI KETAHANAN, SEMARAK REKREASI BELIA

EKSPLORASI ALAM KENERONG UJI KETAHANAN, SEMARAK REKREASI BELIA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

DABONG: Keindahan alam semula jadi Kenerong menjadi medan peserta menguji ketahanan diri menerusi Program Eksplorasi Alam Peringkat Negeri Kelantan 2026 yang berlangsung selama dua hari di Campsite Kenerong 108, di sini.

Timbalan Pengarah (Sukan), Jabatan Belia dan Sukan (JBSN) Kelantan, Hazri Nizam Zakaria berkata, program berkenaan menjadi platform untuk memperkenalkan kepelbagaian aktiviti rekreasi luar selain meningkatkan kesedaran peserta terhadap kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.

Katanya, pengalaman yang diperoleh sepanjang program diharap dapat membentuk keyakinan diri, disiplin dan semangat kerjasama dalam kalangan peserta.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menguji kemampuan diri menerusi aktiviti rekreasi yang mencabar dan menyeronokkan, malah menjadi medium membina sahsiah, kecergasan fizikal serta hubungan yang lebih erat.

“Pada masa sama, peserta dapat memahami kepentingan memelihara khazanah alam semula jadi yang menjadi aset berharga untuk generasi akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian program.

Menurutnya, penganjuran program seumpama itu wajar diteruskan bagi menyemarakkan budaya bersukan dan berekreasi, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Penganjuran program berkenaan adalah antara inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memperkasa aktiviti sukan serta rekreasi luar dalam kalangan belia dan masyarakat.

“Selain memberi peluang peserta meneroka keindahan alam, program itu turut mengetengahkan pelbagai aktiviti mencabar termasuk ikhtiar hidup, kraf perkhemahan, asas pertolongan cemas, tubing dan penerokaan gua,” katanya.

Beliau berkata aktiviti yang disusun turut memberi penekanan terhadap pembentukan semangat berpasukan, ketahanan diri, kepimpinan serta penerapan nilai kecintaan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Program itu turut disertai Pegawai Pembangunan Rekreasi JBSN Kelantan, Ainaa Diyyana Mokhtar dan Pengerusi Kelab Sukan Rekreasi Natura, Ropaiza Muhamad.

Program anjuran Unit Pembangunan Rekreasi, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSN) dengan kerjasama Kelab Sukan Rekreasi Natura dan Team Geopark Dabong itu berlangsung pada 4 hingga 5 September lalu.

Penganjuran Program Eksplorasi Alam Peringkat Negeri Kelantan 2026 diharap dapat melahirkan generasi yang berani meneroka, cekal menghadapi cabaran serta dalam masa sama menghargai dan memelihara kelestarian alam sekitar.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here