Home Buletin Semasa LORI TERBABAS MASUK GAUNG 50 METER, PEMANDU MAUT

LORI TERBABAS MASUK GAUNG 50 METER, PEMANDU MAUT

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TANAH MERAH: Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 50 meter di Jalan Lombong Emas Kampung Sokor (CNMC) menghala ke Kuala Tiga, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika mangsa, Chow Yoke Kow, 65, memandu lori dari arah Lombong Emas Sokor (CNMC) menghala ke Kuala Tiga.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum jatuh ke dalam gaung yang berketinggian kira-kira 50 meter dari jalan.

“Mangsa tercampak keluar dari lori yang dipandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari gaung oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

Katanya, bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.

Dalam kejadian itu, Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah menerima panggilan daripada Balai Polis Kuala Tiga kira-kira jam 4 petang berhubung kemalangan berkenaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here