Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) membentangkan pelan penambahbaikan membabitkan 17 langkah bagi memperkukuh elemen keselamatan di pintu masuk negara, khususnya lapangan terbang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan berkenaan yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri dua minggu lalu merangkumi tiga fasa.
Katanya, pelan itu turut melibatkan aspek kawalan keluar dan masuk negara susulan terdapat beberapa kes rakyat Malaysia yang meninggalkan negara sebelum ditahan pihak berkuasa di negara destinasi.
“Kita akui ada lagi perkara yang perlu kita tambah baik melibatkan semua agensi termasuk pasukan polis, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Aviation Security, Malaysia Airports Berhad (MAB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan sebagainya,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek PPM Wilayah Tiga, Tok Bali, di sini.
Menurutnya, usaha memperkukuh keselamatan pintu masuk negara memerlukan kerjasama semua agensi berkaitan bagi memastikan kawalan keselamatan dilaksanakan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya rakyat Malaysia ditahan kerana kesalahan di negara lain, negara berkenaan mempunyai hak untuk menguatkuasakan undang-undang masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, kerjasama antara agensi penguatkuasaan membolehkan pihak Malaysia mendapatkan akses untuk membantu siasatan menerusi mekanisme kerjasama polis dengan polis serta kerjasama ASEAN.
IMedikel TV






