Home Buletin Semasa CUBA ELAK LORI, DUA MOTOSIKAL REMPUH KERETA

CUBA ELAK LORI, DUA MOTOSIKAL REMPUH KERETA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA KRAI: Tindakan sebuah lori memotong secara berbahaya sehingga memasuki laluan bertentangan dipercayai menjadi punca sebuah kereta terpaksa membrek dan berhenti secara mengejut sebelum dilanggar dua motosikal di Kilometer 101, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kampung Lela Jasa, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.26 pagi itu, pemandu kereta berusia 38 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang terpaksa menghimpit kenderaannya ke bahu jalan selepas sebuah lori dari arah bertentangan memasuki laluannya ketika memotong.

Tindakan itu menyebabkan dua motosikal yang berada di belakang kereta berkenaan gagal mengelak sebelum melanggar bahagian kiri kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan  Mohd Maizan Mustaffa berkata, akibat perlanggaran itu, kedua-dua penunggang motosikal tercampak dan mengalami kecederaan ringan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah lori jenis Isuzu Rigid-Refrigerated dari arah bertentangan memasuki laluan kereta terbabit.

“Pemandu kereta terpaksa memberhentikan kenderaannya secara mengejut di bahu jalan sebelum dilanggar dua motosikal di bahagian kiri,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang memotong secara berbahaya sehingga memasuki laluan bertentangan.

“Polis kini sedang mengesan pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya meningkatkan tahap kewaspadaan ketika memandu, khususnya susulan pertambahan jumlah kenderaan sempena musim cuti persekolahan.

Pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melalui laluan yang masih dalam pembinaan serta mempunyai banyak lencongan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai atau Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sjn Muhammad Firdaus Jamaludin di talian 09-966 6222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here