KUALA LUMPUR: “Apa yang korang tengok bukan keseluruhan cerita dan setiap episod, ” demikian kongsi pelakon jelita, Uqasha Senrose.
Teraju utama drama bersiri Madu Atau Racun itu turut meluahkan rasa kecewa apabila segelintir pihak menyentuh soal peribadi dan anak.
Menurut Uqasha, penonton drama itu seharusnya tidak boleh membuat kesimpulan hanya berdasarkan klip yang disunting dan tular di media sosial semata-mata.
“Hanya tengok klip-klip yang sudah disunting?
“Setiap jalan cerita pasti ada ujian, pengajaran, iktibar dan keinsafan. Cuba tengok sampai episod terakhir dan nilailah selepas itu.
“Jangan terus ‘judge’ (hukum) macam tiada hari esok sampai ke ‘personal’ (hal peribadi) pun korang sentuh,” katanya menerusi hantaran Instagram Story.
Dalam hantaran berbeza, Uqasha juga menyatakan rasa kesal apabila ada pihak mengaitkan dengan agama.
“Sampai mempersoalkan Islam ke? Masing-masing ada anak perempuan sampai sentuh anak. Maaf, itu sudah terlalu melampau.
“Baru episod berapa, terus kena kecam sampai ke anak-anak. Ya Rabbi. Yang ‘judge’ semua ini rasanya bukan tengok cerita, tapi tengok apa yang lalu di FYP saja.
“Tengok cerita. Tengok isi kandungan cerita. Agak melampau juga korang yang bercakap sedap mulut ini,” katanya.
Dipercayai, luahan itu dibuat susulan kecaman yang diterima selepas klip drama lakonannya, Madu atau Racun mencetuskan kontroversi susulan kandungan didakwa menyentuh isu LGBTQ, tular di media sosial.
Selain Uqasha, drama membabitkan lakonan Aliff Aziz dan Elisya Sandha itu mendapat kecaman teruk selepas didakwa tidak sesuai dengan budaya dan agama masyarakat di negara ini. – HMetro Online –
IMedikel TV






