Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang dan sangat gembira.”
Memetik laporan Harian Metro, Demikian kata penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, ketika mengulas dakwaan segelintir pihak yang menganggap dia kini memperlahankan karier lakonan selain hanya menyanyi sekadar suka-suka.
Menurut Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 34, kekayaan tidak wajar diukur dari sudut material semata-mata, sebaliknya kebahagiaan memiliki sebuah keluarga termasuk status sebagai isteri dan ibu adalah rezeki terbesar yang tiada tandingannya.
“Alhamdulillah saya dah berkahwin, saya dah ada anak. Itu satu rezeki yang sangat besar buat saya. Lagu-lagu saya masih berkumandang dan orang masih lagi menerima saya dalam industri ini.
“Tetapi semua itu saya anggap satu kekayaan yang mungkin orang lain tidak boleh nak anggap itu kekayaan. Bagi saya, itu sudah satu kekayaan untuk saya.
“Jadi, kalau mungkin orang kata saya memilih (kerja) sebab saya dah kaya-raya dari segi duit, saya tidak rasa macam itu pun,” katanya.
Nabila berkata demikian ketika ditemui di Sesi Tayangan Khas filem animasi pengembaraan terbaharu dari Indonesia, Pelangi Di Mars, semalam.
Bercerita lanjut mengenai hala tuju kerjayanya, pelantun lagu Pematah Hati itu menegaskan kepentingan mengenali kekuatan diri serta menetapkan batasan dalam setiap langkah agar tidak mengabaikan apa yang benar-benar diminati.
“Sebab at the end of the day (pada akhirnya), kita kena tahu dekat mana kekuatan kita dan you have to know when to stop (anda perlu tahu bila masanya untuk berhenti).
“Jangan kita teruskan buat semua benda, nak buat ini, kejar yang ini, kejar itu, tetapi apa yang kita betul-betul suka tu kita terlepas.
“Jadi, itu yang saya tengah buat sekaranglah. Saya harap apa yang saya tengah usahakan ini semua orang akan nampak nanti,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Nabila turut menyanyikan lagu tema rasmi (OST) versi Bahasa Malaysia berjudul ‘Warnai Pelangi’ bagi filem Pelangi Di Mars.
Filem berkenaan bakal menemui penonton di seluruh pawagam bermula 3 September ini.-HMetro Online-
IMedikel TV






