Home Buletin Semasa 38 TAHANAN WARGA ASING DIHANTAR PULANG KE NEGARA ASAL

38 TAHANAN WARGA ASING DIHANTAR PULANG KE NEGARA ASAL

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Seramai 38 tahanan imigresen pelbagai warganegara dihantar pulang ke negara asal masing-masing pada minggu terakhir bulan kemerdekaan.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menerusi kenyataan di laman rasmi memaklumkan, daripada jumlah itu, 36 tahanan adalah warga Indonesia manakala dua lagi warga Singapura.

“Kesemua tahanan berkenaan dipindahkan ke negara asal masing-masing melalui Terminal Feri Stulang Laut dan Bangunan Sultan Iskandar,” kata JIM.

Menurut JIM Johor, kesemua tahanan yang dihantar pulang memiliki pasport yang sah, manakala sebahagian daripadanya dibekalkan dokumen perjalanan sementara atau Emergency Travel Document oleh kedutaan negara masing-masing.

JIM Johor berkata, pembiayaan tiket penghantaran pulang tahanan terbabit adalah melalui simpanan peribadi tahanan, sumbangan ahli keluarga dan bagi kes tertentu, ditanggung oleh pihak kedutaan negara berkenaan.

“Kesemua tahanan yang dihantar pulang ke negara asal ini telah disenarai hitam di dalam sistem Jabatan dan tidak dibenarkan untuk memasuki semula ke negara ini atas apa jua tujuan mengikut tempoh yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, JIM Johor memaklumkan segala urusan penghantaran pulang tahanan, termasuk pembelian tiket, boleh dilakukan di Kaunter Perkhidmatan yang disediakan di Depot Imigresen Pekan Nenas (DIPN).

Tiada sebarang caj perkhidmatan dikenakan bagi urusan berkenaan.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Unit Rekod dan Pemindahan DIPN menerusi talian 07-6993540 atau Sistem Pertanyaan Online (SPO).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here