Home Buletin Semasa WANITA MAUT, PEMBONCENG PARAH MOTOSIKAL DILANGGAR ALZA DI SIMPANG KAMPUNG MANJOR

WANITA MAUT, PEMBONCENG PARAH MOTOSIKAL DILANGGAR ALZA DI SIMPANG KAMPUNG MANJOR

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA KRAI: Seorang wanita maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal yang mereka naiki dilanggar sebuah Perodua Alza di Kilometer 95, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, berhampiran Simpang Kampung Manjor, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, mangsa, wanita Melayu tempatan berusia 50 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd Maizan Mustaffa berkata, siasatan awal mendapati mangsa ketika itu menunggang motosikal jenis Yamaha SR Lagenda bersama seorang pembonceng, wanita tempatan berusia 56 tahun.

Menurutnya, ketika tiba di simpang Kampung Pemberian, mangsa dipercayai cuba menyeberangi jalan utama untuk menuju ke Kampung Manjor.

“Pada masa sama, sebuah Perodua Alza yang dipandu dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu datang melalui laluan berkenaan sebelum melanggar kedua-dua mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pembonceng mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Mohd Maizan berkata, pembonceng kini menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan HSIP, manakala pemandu Perodua Alza bersama lima penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSIP untuk proses bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang keluar dari simpang tanpa memastikan keadaan selamat sebelum menyeberangi jalan utama, sehingga dilanggar kenderaan yang datang dari laluan sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu susulan pertambahan jumlah kenderaan sempena musim cuti persekolahan.

Penunggang dan pembonceng motosikal juga dinasihatkan sentiasa memakai topi keledar bagi mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurhasmira Tajol di talian 09-966 6222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here