Home Buletin Semasa LEBIH 20,000 HADIR PADA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DI PAHANG

LEBIH 20,000 HADIR PADA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DI PAHANG

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Lebih 20,000 pengunjung menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4, Kemunting, di sini semalam.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke sambutan itu bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Berangkat sama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sambutan bermula kira-kira 8.45 pagi dimeriahkan dengan pelbagai acara yang diatur termasuk bacaan ikra, persembahan muzikal kaum di negara ini, persembahan kawat senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan beberapa acara lain.

Penonton berpeluang menyaksikan 18 penerjun Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang diterjunkan dari ketinggian 6,000 kaki menggunakan dua helikopter AW139 dari No. 3 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth.

Jalur Gemilang gergasi yang diterbangkan sebelum dikembangkan pada ketinggian 4,000 kaki turut mencuri tumpuan apabila diiktiraf dalam Malaysian Book of Records (MBOR).

Kehadiran enam unit pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM No 12 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak yang membuat ‘flypass’ di ruang udara menambahkan keceriaan sambutan kemerdekaan kali ini.

Acara kali menyaksikan persembahan 150 kontinjen dengan pecahan 87 kontinjen berjalan kaki dan 63 kontinjen berkenderaan.

Keseluruhan peserta kontinjen berjalan kaki membabitkan seramai 3,373 peserta termasuk sebanyak 609 kenderaan pelbagai agensi serta tujuh pancaragam sepanjang lebih dua jam acara berlangsung.

Buat julung kali diadakan acara cabutan nombor bertuah yang menawarkan dua unit kereta dan tiga motosikal untuk pengunjung bertuah.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here