LIVERPOOL: Hasrat Cody Gakpo untuk menyertai Manchester City tidak kesampaian selepas Liverpool gagal mendapatkan pengganti sesuai untuk pemain sayap Belanda itu.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Daily Mail Sport melaporkan sebelum ini bahawa Gakpo bersedia untuk kekal di Anfield sekiranya Liverpool gagal mendapatkan Yankuba Minteh dari Brighton atau Ismaila Sarr dari Crystal Palace.
Pemain sayap Belanda itu, yang diturunkan dalam kesebelasan utama bagi dua perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris Liverpool, sebelum ini semakin hampir menyertai Manchester City menjelang tarikh tutup jendela perpindahan, dengan kedua-dua kelab dilaporkan sedang berunding mengenai nilai sekitar 85 juta pound (RM465 juta).
Namun, perpindahan itu kini gagal direalisasikan selepas Liverpool tidak berjaya mendapatkan pengganti yang sesuai, walaupun sudah mendapatkan pemain sayap berusia 23 tahun, Bradley Barcola dari Paris Saint-Germain pada harga 123 juta pound (RM673 juta) semalam.
Liverpool mencapai persetujuan dengan PSG minggu lalu selepas beberapa minggu rundingan bagi menurunkan harga pemain berkenaan, dengan kelab juara Eropah itu pada awalnya menetapkan nilai 145 juta pound (RM794 juta).
Walaupun berjaya mengikat Barcola dengan kontrak lima tahun, Liverpool tidak bersedia membenarkan Gakpo menyertai Manchester City selagi mereka belum mendapatkan seorang lagi pemain serangan.
Perkembangan itu hadir hanya sehari selepas kapten Liverpool, Virgil van Dijk menggesa rakan sepasukannya itu untuk kekal di Anfield.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Gakpo berpindah selepas Liverpool seri 2-2 dengan Nottingham Forest, Van Dijk berkata: “Apa pendapat anda? Dia pemain berkualiti. Saya fikir kami patut mengekalkan pemain berkualiti.
“Kita lihat apa yang berlaku dalam beberapa hari akan datang. Saya mahu dia kekal bukan hanya kerana dia pemain berkualiti, tetapi juga kerana dia rakan saya. Dia sangat penting buat kami.”
Mengenai kehadiran Barcola di Anfield, Van Dijk menambah: “Dia pemain yang bagus, itu sahaja yang boleh saya katakan.
“Saya rasa tidak ada keraguan bahawa kelab seperti Liverpool sangat menarik kepada pemain berkualiti.
“Ini antara kelab terbesar di dunia. Kita semua tahu kami sedang melalui sedikit proses peralihan. Anda sama ada mahu menjadi sebahagian daripadanya atau tidak.
“Dia pemain yang mempunyai kepantasan. Saya masih ingat gol yang dijaringkannya ketika menentang Chelsea. Jika dia datang ke sini, dia akan disambut dengan tangan terbuka.”– AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






