Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan menggagalkan dua cubaan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi laluan tidak diwartakan dalam tempoh seminggu, membabitkan 20 individu warganegara India, Sri Lanka, Indonesia dan Myanmar.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, kesemua mereka ditahan dalam dua operasi berasingan pada Rabu lalu dan semalam selepas pihaknya menerima maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan migran di sekitar tebing Sungai Kelantan.

“Kedua-dua kejadian berlaku pada awal pagi dengan modus operandi yang hampir sama, apabila bot laju dikesan bergerak dalam keadaan bergelap dan mencurigakan di perairan Kuala Besar.
“Bot Ronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan sempena OP NAGA, OP DAMAI, OP PELANTAR MERAH dan OP TIRIS mengesan kedua-dua bot berkenaan.
“Bagaimanapun, bot terbabit berjaya meloloskan diri dengan memecut memasuki laluan sungai yang sempit dan cetek, selain keadaan persekitaran yang gelap menyukarkan anggota untuk merapat ke lokasi,” katanya pada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya susulan itu, Pasukan Operasi Darat Maritim Malaysia digerakkan ke tebing Sungai Kelantan bagi memintas pergerakan kumpulan berkenaan.
“Dalam operasi pertama pada Rabu lalu, pencarian dilakukan di sekitar perairan Sungai Kelantan termasuk kawasan belakang Pelangi Mall, sebelum empat individu dipercayai warga asing ditahan.
“Pemeriksaan mendapati kesemua mereka berusia antara 35 hingga 48 tahun, terdiri daripada tiga lelaki warganegara India dan seorang lelaki Sri Lanka.
“Tiga daripada mereka memiliki pasport, namun gagal mengemukakan rekod perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan,”katanya.
Sementara itu, dalam operasi kedua semalam, pasukan Maritim Malaysia meneruskan pencarian di sekitar perairan Sungai Kelantan berhampiran Tendong, Pasir Mas selepas bot yang membawa kumpulan berkenaan berjaya meloloskan diri.
“Operasi itu membawa kepada penahanan 16 individu dipercayai warga asing berusia antara 23 hingga 50 tahun.
“Mereka terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita warganegara Indonesia serta lima lelaki dan tiga wanita warganegara Myanmar,”katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati 10 daripada mereka memiliki pasport tetapi gagal mengemukakan rekod perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini, manakala enam lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Beliau berkata secara keseluruhannya, seramai 20 individu dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak sah berjaya ditahan dalam tempoh seminggu.
“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki berada di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri serta rekod perjalanan yang sah,”katanya.
Dalam pada itu, Kamal berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan dan operasi penguatkuasaan di perairan Kelantan bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan migran.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di perairan atau kawasan pesisir diminta menyalurkannya menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070 untuk tindakan lanjut.
IMedikel TV






