Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Inisiatif menawarkan kambing aqiqah pada harga RM1 seekor kepada bayi Islam yang dilahirkan pada 12 Rabiulawal 1448 Hijrah (25 Ogos 2026), diteruskan Osman Goat Farm Sdn Bhd untuk tahun ke-15, bagi memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Program yang bermula sejak 2011 itu kini diperluaskan kepada bayi yang dilahirkan di hospital kerajaan atau swasta di seluruh Malaysia dan Singapura, tanpa mengira kewarganegaraan.
Pengarahnya, Osman Cheya Kutty berkata, pada peringkat awal, program berkenaan hanya dibuka kepada bayi yang dilahirkan di hospital kerajaan sebelum diperluaskan kepada semua bayi Islam bagi pelaksanaan tahun ini.

“Selain kambing aqiqah pada harga RM1 seekor, setiap bayi yang layak turut menerima caruman pembukaan akaun Tabung Haji sebanyak RM50.
“Bukan semua orang mampu melaksanakan aqiqah kerana harga seekor kambing sekarang boleh mencecah lebih RM1,000 ke RM 1,500.
“Jadi, ini adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Osman Goat Farm untuk memulangkan sebahagian keuntungan perniagaan kepada masyarakat Islam, khususnya mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata, harga RM1 itu ditetapkan sebagai akad jual beli bagi membolehkan urusan aqiqah dilaksanakan, meskipun pihaknya pada asalnya berhasrat memberikan kambing berkenaan secara percuma.
Katanya mensasarkan lebih 200 kambing pelbagai jenis baka termasuk Jamnapari dan biri-biri untuk inisiatif tersebut.
“Ramai yang menerima manfaat program ini sangat berterima kasih dan mengucapkan alhamdulillah kerana berpeluang melaksanakan aqiqah dengan harga hanya RM1.
“Pemohon perlu mengemukakan bukti kelahiran sama ada sijil pengesahan kelahiran yang dikeluarkan hospital atau sijil kelahiran bayi. Seterusnya membuat pendaftaran di QR tertera yang diletakkan di media sosial Osman Goat Farm, selewat-lewatnya 5 Oktober depan.
“Majlis aqiqah beramai-ramai akan diadakan pada 10 Oktober 2026, jika bayi yang dilahirkan pada tarikh 12 Rabiulawal adalah kembar, keluarga akan mendapat dua ekor kambing pada harga RM1 setiap seekor.
“Ibu bapa juga boleh mengambil kambing lebih awal dan mereka masih dialu-alukan menghadiri majlis bersama kami,”katanya.
IMedikel TV






