Home Buletin Semasa 250,000 USAHAWAN TERIMA SUNTIKAN “POWER UP 10K” HAMPIR RM9 BILION

250,000 USAHAWAN TERIMA SUNTIKAN “POWER UP 10K” HAMPIR RM9 BILION

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Kira-kira 250,000 usahawan di seluruh negara sudah menerima suntikan pembiayaan hampir RM9 bilion menerusi inisiatif ‘Power Up 10K’ sehingga akhir Julai lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada sasaran kementerian untuk menyalurkan sekurang-kurangnya RM15 bilion ke dalam pasaran tahun ini bagi membantu golongan usahawan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurutnya, suntikan pembiayaan berkenaan penting bagi memastikan aliran tunai terus bergerak dalam pasaran, selain membantu syarikat yang sedang berdepan tekanan untuk bertahan dan perniagaan berpotensi berkembang untuk memperluaskan operasi.

“Setakat bulan Julai, kita telah berjaya menyalurkan hampir RM9 bilion kepada hampir 250,000 orang usahawan di seluruh negara.

“Memang ada yang belum mendapat pembiayaan kerana jumlah usahawan di Malaysia lebih daripada satu juta, tetapi jangan kata tiada yang mendapat bantuan kerana sudah 250,000 usahawan menerima manfaat dan RM9 bilion sudah masuk ke dalam pasaran.

“Selain itu, di bawah inisiatif Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India (MUDRA) yang diperkenalkan oleh KUSKOP tahun ini, seramai 5,000 usahawan masyarakat India telah menerima pelbagai pembiayaan berjumlah RM100 juta,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Konvensyen Agenda Pembangunan Ekonomi Muslim (APEM) 3.0 di sebuah hotel di Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini.

Jelas Sim, KUSKOP memberi tumpuan kepada dua kelompok utama iaitu syarikat yang sedang bergelut dengan peningkatan kos serta syarikat yang mempunyai peluang untuk berkembang dan menembusi pasaran lebih besar.

Katanya, kementerian turut menetapkan empat fokus utama bagi memperkasakan perniagaan Malaysia, merangkumi peningkatan produktiviti, pengurangan birokrasi, akses kepada modal serta peluasan akses pasaran.

“Kalau kita tidak boleh lawan dari segi harga, kita perlu bantu usahawan meningkatkan produktiviti. Birokrasi juga perlu dikurangkan atau dihapuskan supaya kos menjalankan perniagaan dapat dikurangkan.

“Kita juga mahu memastikan ada modal di atas meja apabila usahawan memerlukannya, sama ada untuk terus bertahan atau mengembangkan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Sim berkata, KUSKOP menyambut baik penganjuran Konvensyen APEM sebagai platform tindakan strategik bagi memperkukuh penyertaan PMKS muslim dalam ekosistem keusahawanan negara.

“Usahawan hari ini memerlukan lebih daripada sekadar modal. Mereka memerlukan bimbingan, akses pasaran, jaringan perniagaan dan sokongan yang berterusan untuk berkembang secara mampan dan berdaya saing serta akhirnya menjadi pemain yang lebih besar dalam ekonomi negara.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan lebih ramai usahawan berupaya melonjak ke peringkat seterusnya, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan produktiviti dan menjadi komponen penting dalam rantaian nilai ekonomi negara,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here