Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Toyota Corolla dalam kemalangan di hadapan Toyota Bunot Payong, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 125 dari arah Kota Bharu menghala Wakaf Che Yeh dipercayai bergerak lurus di laluan yang sah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu Toyota Corolla, seorang wanita berusia lewat 70-an, sedang membuat pusingan U untuk menghala semula ke arah Wakaf Che Yeh.
“Ketika itu, motosikal mangsa datang dari arah bertentangan sebelum melanggar bahagian pintu penumpang hadapan sebelah kiri kereta berkenaan.
“Akibat perlanggaran, mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Azmir berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan itu kira-kira jam 9.30 pagi sebelum siasatan lanjut dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.
Sehubungan itu, polis meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Bharu atau Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Nurul Izzati Mohammad Rosli di talian 09-7752315.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, selain mematuhi undang-undang dan isyarat lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
IMedikel TV






