PARIS: Cristiano Ronaldo dan pasangannya, Georgina Rodriguez, berkahwin dalam satu majlis di resort Cascais, Portugal, semalam, menurut wakil bintang bola sepak itu.
Memetik laporan AFP meenrusi Berita Harian, Ronaldo, 41, berkongsi gambar tangan pasangan berkenaan yang memakai cincin perkahwinan di Instagram.
Kelima-lima anak pasangan itu turut menghadiri majlis berkenaan, menurut Brunswick Group, firma yang mengendalikan perhubungan awam pemain itu kepada AFP.
Pasangan terbabit berkahwin tepat setahun selepas Rodriguez, 32, yang juga seorang personaliti media sosial, mengumumkan pertunangan mereka menerusi Instagram.
Mereka bertemu pada tahun 2016 ketika Rodriguez bekerja di sebuah kedai Gucci di Madrid, dengan Rodriguez menyifatkan pertemuan itu sebagai “cinta pandang pertama”.
Dalam wawancara bersama Vogue Arabia pada tahun 2025, dia berkata hampir serta-merta merasakan “ketenangan dan tenaga yang sukar dijelaskan” ketika bersama Ronaldo, “seolah-olah kami sudah mengenali satu sama lain selama-lamanya”.
Ronaldo yang mewakili Portugal di Piala Dunia musim panas ini sebelum tersingkir pada pusingan 16 terakhir, kini beraksi bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr.
Bekas penyerang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu memenangi Ballon d’Or sebanyak lima kali sebagai pemain terbaik dunia.
Rodriguez turut meningkatkan profilnya menerusi siri Netflix berjudul “I Am Georgina”.
Secara keseluruhan, pasangan itu mempunyai lebih 750 juta pengikut di semua akaun media sosial mereka. Mereka turut memiliki portfolio pelaburan yang merangkumi jenama fesyen dan rangkaian hotel. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






