Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
JERANTUT: Taman Kelulut Jerantut (KOMEJ) Kampung Paya Gunung, di sini kini diwartakan sebagai hab agropelancongan dan Pusat Latihan Kelulut Pahang yang menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran.
Dibuka sejak 2014 kini terdapat sebanyak 156 sarang tujuh jenis kelulut yang mampu menghasilkan antara 50 hingga 60 kilogram (kg) madu sebulan.
Bagi Mohammad Lela Mat Said, 43, selepas 12 tahun beroperasi dia bersyukur projek yang diusahakan kini
diiktiraf oleh kerajaan Pahang termasuk beberapa agensi berkaitan yang banyak membantu sebelum ini.
Katanya, selain Jabatan Pertanian turut membantu Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Intitut Keusahawanan Negara (inskan).
Menurutnya, setiap tahun dia mengadakan antara 15 hingga 20 kursus menternak kelulut dibawah projek Sejati Madani membabitkan peserta daripada Jerantut, FELDA Jengka, Maran dan Temerloh.

“Terdapat juga agensi kerajaan menganjur kursus dibawah program satu daerah satu industri (SDSI) daerah ini, peserta terdiri daripada mereka yang berminat mengusahakan projek ternakan kelulut secara kecilan.
“Selain latihan saya turut membekalkan sarang kelulut terdiri daripada tujuh jenis spesies seperti Heterotrigona itama, Tetrigona apicalis dan Geniotrigona thoracica yang menghasilkan madu sepanjang tahun,” katanya, di sini kelmarin.
Beliau menambah, mereka yang datang ke Taman Kelulut Jerantut di Kampung Paya Gunung, diberi peluang melihat lebih dekat sarang kelulut yang ada selain dapat mencuba menyedut madu terus dari sarang kotak kayu menggunakan straw.
Mohammad Lela berkata, pengunjung yang ingin membawa pulang madu boleh membelinya dengar harga antara RM15 hingga RM150 sebotol. Turut dijual madu lebah tualang yang dibekalkan oleh pemanjat daerah ini.

Beliau yang menerima Anugerah Usahawan Cemerlang 2025 Produk Terbaik Satu Daerah Satu Industri Pahang, berkata setiap tahun beliau mengadakan pameran dan jualan di seluruh negara bagi mempromosikan madu kelulut yang mempunyai pelbagai khasiat.
“Saya mempelawa pelancong untuk berkunjung ke Taman Kelulut Jerantut untuk melihat lebih dekat sarang kelulut sambil membawa pulang madu selain produk madu kelulut yang dihasilkan.
“Mereka yang berminat untuk mempelajari cara menternak kelulut boleh menghubungi pihaknya,” katanya yang turut mendapat sokongan isteri, Norizzatie Mohamed Noor.
IMedikel TV






