Oleh: Wartawan IMedikel TV
KOTA TINGGI: Nenek tiri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan berusia 16 bulan, akhir bulan lalu.
Tertuduh, Nurul Farhana Laili Shah, 39 yang juga surirumah faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Hafizah Abdul Rajak.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Farhana didakwa telah membunuh Nur Anggun Dahlia Abdullah yang berusia setahun empat bulan di sebuah rumah di Taman Sri Saujana di sini antara 12.30 tengahari hingga 9.30 pagi, pada 30 Julai hingga 31 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Musa, manakala tertuduh diwakili peguam, Lydiana Mansor.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dalam sidang media memaklumkan, suspek menjaga bayi yang tidak sah taraf tersebut sejak lahir kerana ibunya masih menuntut di sebuah kolej vokasional negeri ini.
Katanya suspek mendakwa bayi itu tidak sedarkan diri ketika cuba dikejutkan daripada tidur sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.
Menurut beliau, pakar Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang yang menjalankan bedah siasat pada 10.15 pagi, 2 Ogos lalu terhadap jenazah bayi terbabit, mendapati punca kematian disebabkan oleh trauma di bahagian perut dan dada akibat objek tumpul.
Katanya pemeriksaan juga menemui kesan luka dan lebam di badan mangsa dipercayai akibat penganiayaan.
IMedikel TV






