KUALA LUMPUR: Maestro muzik, Datuk M Nasir bakal mencipta sejarah peribadi apabila mengarahkan teater buat kali pertama selepas hampir lima dekad bergelar anak seni menerusi Teater Muzikal Mansur & Liu.
Memetik laporan Berita Harian, pementasan yang mengambil masa lebih enam tahun untuk direalisasikan itu dijadual berlangsung selama 11 hari bermula 10 September depan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.
Mengangkat kisah Sultan Melaka keenam, Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu daripada Dinasti Ming yang diadaptasi daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, karya berkenaan dijangka menjadi antara pementasan berskala besar terawal selepas kerja naik taraf IB selesai.
Mengulas mengenai pemilihan Aliff Aziz sebagai watak Sultan Mansur Shah yang mencetuskan reaksi segelintir pihak, M Nasir berkata setiap pelakon dipilih berdasarkan kriteria tertentu menerusi proses uji bakat.
“Semua ini (watak) ada kriterianya. Teater muzikal ini membabitkan ramai pelakon, tetapi ada yang tidak memenuhi kriteria yang kita cari. Satu perkara lagi yang penting, terutama dari segi nyanyian.
“Proses memilih itu cerewet dan memang kena cerewet. Bukan sebab perangai kita cerewet, tetapi memang kita perlu cerewet. Kalau tidak, nanti kita yang menyesal.
“Kita cuba dapatkan pelakon yang sedekat mungkin dengan watak yang kita bayangkan sebelum ini. Jadi, yang dipilih ini adalah paling dekat dengan bayangan kita,” katanya.
Menurut M Nasir, idea menghasilkan teater muzikal itu tercetus lebih enam tahun lalu selepas beliau tertarik dengan kisah Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu ketika membaca Sulalatus Salatin.
Katanya, hasrat itu sebelum ini tidak dapat direalisasikan berikutan beberapa faktor termasuk pandemik COVID-19, sebelum kembali mendapat peluang menerusi sokongan pihak produksi.
“Ini mengenai peluang. Ia bergantung pada semangat juga kerana sekian lama saya memang mahu buat, tetapi peluang itu tidak dapat.
“Tetapi kalau hendak buat, saya mahu buat betul-betul dan memberikan satu persembahan yang baharu, kuat dan impaknya besar,” katanya.
Menyentuh pengalaman pertama sebagai pengarah teater, M Nasir berkata perasaan gemuruh mungkin hanya hadir apabila semakin hampir dengan hari persembahan.
“Belum lagi (rasa gemuruh). Orang kata kalau tidak gemuruh, tidak bagus. Kena ada rasa gemuruh. Tapi biasanya ia datang pada saat-saat akhir,” katanya.
Beliau turut mengakui cabaran utama menghasilkan teater muzikal adalah mendapatkan pelakon yang mempunyai kemahiran seimbang dalam lakonan dan nyanyian.
“Saya tengok perkembangan sekarang, hendak mencari pelakon untuk muzikal agak susah. Kita tidak dilatih dengan cara begitu.
“Banyak penyanyi kita tidak dilatih untuk menjadi pelakon dan pelakon pula tidak dilatih untuk menjadi penyanyi,” katanya.
Teater Muzikal Mansur & Liu mempertaruhkan gandingan Aliff Aziz sebagai Sultan Mansur Shah dan Melinda Dadew sebagai Puteri Liu, selain barisan pelakon lain termasuk Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama dan Taqim Zaki.
Diterbitkan Roman Abadi dengan kerjasama Icon Entertainment, pementasan itu menampilkan 30 lagu serta skor muzik asli ciptaan M Nasir yang mengangkat kisah diplomasi, kebijaksanaan dan kasih antara dua empayar yang dipisahkan lautan.-BH Online-
IMedikel TV






