Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: “Saya tewas dengan ajakan kekasih, akhirnya kami melakukan zina tanpa rasa takut dengan dosa dan balasan dari Allah.
“Episod hitam bermula tahun lalu itu berterusan dan akhirnya kekasih saya Ida, 15, (bukan nama sebenar) mengandung hingga melahirkan bayi perempuan pada awal bulan ini,” kata Azrul, 18, (bukan nama sebenar).
Menurutnya, dia tudak mampu menghadapi dugaan hati seorang remaja apabila terbabit dengan kes rogol kekasih bawah umur, tahun lalu yang akhirnya dijatuhkan hukuman melakukan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan di bawah seliaan Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.
Katanya, selepas lebih setahun mengenali Ida tahun lalu dia bertekad untuk bertemu gadis berkenaan di Terengganu dan episod perbuatan sumbang bermula sejak pertemuan itu.

“Saya tidak berniat untuk merogol Ida yang dianggap gadis istimewa dalam hidup saya, namun saya tidak mampu melawan hasutan syaitan yang menggoda dan memujuk kami berdua supaya mencuba kali pertama berzina yang dikatakan begitu seronok.
“Ilmu agama sebagai bekas pelajar sekolah menengah agama dan kebolehan menghafal beberapa juzuk al-Quran, tidak mampu menangkis godaan dan kami terjerumus ke lembah maksiat tanpa rasa bersalah,” katanya selepas melakukan kerja khidmat masyarakat di Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuantan di sini, semalam.
Turut memantau Penyelia Lapangan (Perintah Khidmat Masyarakat) JKM Daerah Kuantan, Ahmad Faizul Aswad Mohamed.
Azrul berkata, dalam tempoh lebih setahun menjalinkan hubungan cinta, dia dan Ida kerap mengadakan hubungan terlarang itu sehingga gadis terbabit mengandung dan melahirkan anak perempuan pada 4 Ogos lalu.
Katanya, keluarganya berusaha untuk menjernihkan keadaan dengan cara menyatukan hubungan dia dengan Ida secara sah demi masa depan bayi mereka, namun keluarga gadis terbabit tidak berminat untuk menerimanya, mungkin kerana faktor dia tidak bekerja selain Ida keluarga yang berada.
“Saya kini insaf dan bertaubat, tidak akan mengulangi kesilapan lalu. Begitu berat kesilapan yang ditanggung, terutama apabila saya lepasan sekolah agama. Saya takut hukuman yang disediakan Allah pada mereka yang melakukan kesalahan.
“Saya ingin menebus kesilapan dengan mengambil Ida sebagai isteri yang sah, namun usaha itu tidak berhasil. Saya reda dengan apa yang terjadi dan berjanji tidak akan mengulanginya selepas ini. Saya bertaubat dan berharap Yang Maha Esa dapat menerimanya,” katanya.
IMedikel TV






