Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Wira dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam parit di Kampung Batu 9, Lebuhraya Timur Barat, Batang Merbau, di sini, malam semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 39 tahun itu ditemukan tersepit di bahagian pemandu selepas kenderaan berkenaan terbalik dalam parit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemahang, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mat Nuri Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada jam 11.44 malam sebelum sebuah jentera bersama lima anggota digerakkan ke lokasi.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 11.50 malam dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Wira yang terbabas dan terbalik di dalam parit.
“Seorang lelaki berusia 39 tahun ditemukan tersepit di bahagian pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi mengeluarkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan khas hydraulic cutter.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi untuk pemeriksaan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.28 tengah malam,” katanya.
Operasi membabitkan lima anggota dari BBP Kemahang dengan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).
IMedikel TV






