Home Hiburan KESUNGGUHAN, SIKAP ROMANTIS FAZLEY PIKAT VIDA

KESUNGGUHAN, SIKAP ROMANTIS FAZLEY PIKAT VIDA

KUALA LUMPUR: Hampir sedekad menjalani kehidupan solo, usahawan selebriti, Datuk Seri Vida atau Hasmiza Othman, 55, kembali membuka pintu hati untuk menerima cinta.

Memetik laporan Berita Harian, keakraban hubungannya dengan penyanyi Datuk Fazley Yaakob bukan lagi rahsia apabila mereka kini semakin terbuka mempamerkan kemesraan di media sosial.

Akui ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu, keikhlasan dan sikap romantis Fazley yang terkenal dengan lagu Asmara Ini berjaya mencuit hatinya yang sekian lama tertutup untuk lelaki.

Vida berkata, pertemuan yang akhirnya membawa kepada hubungan istimewa itu bermula atas inisiatif anak-anak ketika menyertai program Talk To My Manager (TTMM), baru-baru ini.

“Anak-anak sebenarnya yang mengaturkan pertemuan kami. Tapi bukanlah atur-atur terus menjadi, sebaliknya usaha dan keberanian Fazley menambat hati saya berjaya membuka kembali hati yang sudah lama tertutup. 

“Bukan saya sahaja yang ‘blushing’ dengan cara dia melayan saya, malah berdasarkan komen yang saya baca, ramai juga yang cair dengan sikapnya,” katanya ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Maglifestyle sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, kelmarin.

Vida mengakui tidak mengambil masa lama untuk menyambut cinta yang dihulurkan duda kepada empat cahaya mata itu.

“Pada mulanya saya mahu tunggu dan lihat serta menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Namun, Fazley seorang yang berterus terang.

“Dia meluahkan perasaannya pada hari yang paling afdal untuk umat Islam berdoa dan memohon apa sahaja. Pada hari itulah saya menyerahkan segala-galanya kepada takdir,” katanya.

Fazley berkata, dia sudah berbual dengan anak Vida, Cik B, serta anak sulungnya, Ahmad Fariedz atau Payish, mengenai hubungan mereka.

Jelas Fazley, anak-anak mereka tahu mengenai hubungan yang terjalin dan memberikan reaksi positif.

“Anak-anak umpama kain putih, doa mereka sangat ikhlas. Saya sudah berbual dengan Cik B dan Payish sejak program TTMM lagi.

“Menurut Vida, saya terlalu ‘gentleman’ dan berani. Bagi saya, jika perkara itu baik, tiada sebab untuk saya berlengah berkongsi hasrat dengan anak-anak.

“Cuma soal perkahwinan perlu diberikan masa dan dibuat pertimbangan yang sewajarnya. Banyak perkara perlu diperhalusi.

“Lagipun, Vida selalu bergurau mahu memberi laluan kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah (untuk bernikah) terlebih dahulu. Selepas semuanya selesai, mungkin tiba pula masa kami berkongsi berita yang membahagiakan itu. Insya-Allah,” katanya.

Fazley menyifatkan hubungan yang terjalin bersama Vida sebagai satu perjalanan yang indah dan membahagiakan.

Sehubungan itu, dia memohon doa semua pihak agar hubungan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Apa yang kami lalui adalah satu perjalanan yang cukup indah dan membahagiakan. Peminat hanya mampu mendoakan Vida, tetapi saya pula diberi peluang memiliki hati dan jasadnya,” katanya.

Mengulas penerimaan bekas isterinya, Azrene Ahmad, Fazley berkata, hubungan baik yang terjalin selama ini memudahkan semua pihak menerima kebahagiaan masing-masing.

“Alhamdulillah, Azrene sokong hubungan kami. Mereka juga pernah bertemu. Kami ibarat sebuah keluarga besar dan semua saling memberikan sokongan terhadap hubungan saya dengan Vida,” katanya.

Fazley dan Azrene mendirikan rumah tangga pada 2006. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 17; Ahmad Fieradz Shah, 16; Ahmad Fierudz Shah, 15 dan Alayna Selma, 9.

Sementara itu, Vida pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Perkahwinan terakhirnya berakhir dengan perceraian pada 2014, namun, hasil perkongsian hidup itu, mereka tidak dikurniakan cahaya mata. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here