LONDON: Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher percaya Mohamed Salah terlalu hebat untuk beraksi di Turkiye dan sepatutnya menyertai kelab yang lebih berprestij berbanding Trabzonspor.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Salah diberikan sambutan luar biasa oleh kira-kira 25,000 penyokong di Lapangan Terbang Trabzon sebelum menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab gergasi Turkiye itu.
Penyokong menyalakan suar dan menghamparkan karpet merah bagi menyambut pemain paling berprofil tinggi dalam sejarah Trabzonspor.
Legenda Liverpool itu meninggalkan Anfield musim panas ini, setahun sebelum kontraknya berakhir, selepas memutuskan untuk mencari cabaran baharu.
Carragher berpendapat penyerang Mesir berusia 34 tahun itu sepatutnya terus menguji kemampuannya di salah satu liga terbaik Eropah.
“Saya tidak pernah percaya dia akan ke Arab Saudi kerana, pertama sekali, dia terlalu bagus untuk bermain di sana. Saya fikir dia masih mampu beraksi di Serie A. Turkiye bagi saya berada satu tahap lebih rendah.
“Saya benar-benar yakin dia akan berakhir di AC Milan atau Juventus, atau mana-mana kelab seperti itu. Mungkin tuntutan gajinya menjadi masalah. Saya tidak mengenalinya secara peribadi dan tidak pernah bercakap dengannya.
“Tetapi dia seperti Cristiano Ronaldo. Dia sangat bercita-cita tinggi dan statistik amat penting baginya. Memang dia masih boleh melakukannya di Turkiye, tetapi saya fikir dia mahu bermain di kelab yang benar-benar berprestij,” kata Carragher dalam podcast Football Ramble.
Carragher turut berpendapat Salah mungkin boleh mengurangkan sedikit tuntutan gajinya demi menyertai kelab yang lebih besar.
“Mungkin dia boleh mengurangkan sedikit tuntutan gajinya untuk mendapatkan kelab yang lebih baik.
“Bermain dengan AC Milan atau Juventus, beraksi di San Siro, terus bermain dalam perlawanan besar dan di pentas Eropah. Turki bagi saya… saya cuma rasa dia lebih hebat daripada itu,” katanya.
Salah menerima sambutan luar biasa apabila puluhan ribu penyokong memenuhi Lapangan Terbang Trabzon sebaik beliau tiba.
Bekas penyerang Liverpool itu jelas terharu apabila disambut dengan nyalaan suar dan sorakan penyokong yang meraikan ketibaannya hingga lewat malam.
Beliau mengenakan pakaian rasmi Trabzonspor dan menyarungkan mafla kelab sebelum berucap kepada penyokong.
“Sejujurnya saya sendiri tidak ingat pernah menerima sambutan seperti ini. Saya sangat gembira berada di sini. Ada 25,000 penyokong, ini memang luar biasa!
“Saya benar-benar gembira berada dalam suasana seperti ini. Saya tidak ingat pernah menerima layanan sebegini. Melihat kasih sayang dan perhatian seperti ini membuatkan saya sangat bahagia.
“Saya akan bekerja keras untuk membawa kejayaan dalam liga dan juga di Eropah. Saya berjaya di setiap kelab yang pernah saya sertai dan saya mahu mengulanginya di sini juga,” kata Salah.
Sebelum tiba di Turkiye, Salah dirakam menaiki jet peribadi sambil memakai jersi Trabzonspor dengan namanya serta nombor 61, nombor yang menjadi simbol bandar Trabzon dan kelab berkenaan.
Trabzonspor turut menjemput penyokong menyertai siaran langsung perjalanan Salah ke Turkiye, manakala ribuan penyokong berhimpun di Lapangan Terbang Ataturk bagi menyambut ketibaannya.
Sebelum ini, Besiktas difahamkan menjadi pilihan utama Salah, namun rundingan antara kedua-dua pihak menemui jalan buntu minggu lalu.
Trabzonspor mengumumkan rundingan dengan Salah pada Selasa, selain memaklumkan jadual penerbangannya kepada 1.9 juta pengikut kelab itu di platform X dan mengatur majlis sambutan khas.
Masa depan Salah menjadi perhatian sejak beliau mengejutkan ramai apabila mengumumkan akan meninggalkan Liverpool setahun sebelum kontraknya tamat.
Ramai menjangkakan beliau akan berhijrah ke Arab Saudi selepas Al-Ittihad pernah mengemukakan tawaran bernilai 150 juta pound (RM825 juta) pada musim panas 2023.
Namun, Trabzonspor berjaya mendapatkan khidmat pemain sayap itu yang dikatakan tidak lagi sehaluan dengan bekas pengendali Liverpool, Arne Slot, musim lalu.
Trabzonspor menamatkan saingan Liga Super Turkiye di tangga ketiga musim lalu di belakang Fenerbahce dan juara, Galatasaray.
Salah, penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman Liverpool dengan 255 gol, tidak mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana kelab sebelum musim lalu berakhir sebagai tanda hormat kepada The Reds.
Apabila perpindahannya disahkan, Salah akan menjadi pemain paling berprofil tinggi dalam sejarah Trabzonspor dan bakal bergandingan dengan penjaga gol Manchester United yang dipinjamkan, Andre Onana, serta bekas pertahanan Manchester City, Stefan Savic.
Trabzonspor sudah memenangi tujuh kejuaraan liga utama Turkiye. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






