Home Buletin Semasa UIAM CIPTA SEJARAH TERIMA LAPAN PASANGAN KEMBAR SERENTAK

UIAM CIPTA SEJARAH TERIMA LAPAN PASANGAN KEMBAR SERENTAK

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencipta sejarah apabila menerima kemasukan lapan pasangan kembar serentak dalam kalangan 5,000 mahasiswa baharu yang mendaftar bagi menyambung pengajian di universiti itu baru-baru ini.

Lapan pasangan kembar berkenaan terdiri daripada tiga pasangan kembar lelaki dan lima pasangan kembar perempuan yang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di Pusat Asasi UIAM kampus Gambang dan Kuantan.

Bagi Siti Nur Damia Tasnif Luqman dan kembarnya, Siti Nur Dania Tasnim, 18, mereka melahirkan rasa teruja apabila impian melanjutkan pengajian di UIAM akhirnya menjadi kenyataan.

Menurut Siti Nur Damia Tasnif, faktor persekitaran yang menitikberatkan nilai Islam menjadi antara sebab mereka memilih UIAM sebagai destinasi pengajian.

“Selain pendidikan akademik, kami turut berpeluang menimba ilmu agama yang disediakan pihak UIAM. Di universiti lain mungkin suasananya agak berbeza.

“Faktor berkenaan mendorong saya dan adik menjadikan UIAM sebagai pilihan pertama melanjutkan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, sokongan ibu bapa turut menjadi pendorong untuk mereka meneruskan pengajian dalam bidang sains fizikal bagi merealisasikan cita-cita masing-masing.

Sementara itu, Elya Dania Azman dan kembarnya, Elya Diana, 18, menyifatkan peluang melanjutkan pengajian di universiti pilihan sebagai satu pengalaman yang amat bermakna.

Katanya, walaupun tidak ditempatkan dalam bilik yang sama, perkara itu tidak menjejaskan semangat mereka untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran.

“Matlamat kami selepas ini adalah berusaha memburu cita-cita, seterusnya mengotakan janji kepada ibu dan bapa,” katanya yang ditempatkan di UIAM kampus Gambang.

Sementara itu, Nur Dhia Danisha Muhammad Yusri, 18, berkata sokongan keluarga menguatkan lagi semangat mereka untuk memilih UIAM sebagai pilihan pertama.

Menurutnya, beliau memilih jurusan Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, manakala adiknya, Nur Adini Darwisya memilih bidang kejururawatan.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti, Pusat Asasi UIAM kampus Gambang dan Kuantan, Nazira Zubir berkata, kemasukan lapan pasangan kembar itu merupakan rekod pertama bagi UIAM.

“Tahun lalu kita hanya menerima lima pasangan kembar. Namun hari ini kita menerima lapan pasangan kembar membabitkan tiga pasang lelaki dan lima pasang perempuan.

“Masing-masing empat pasangan belajar di UIAM kampus Gambang dan empat pasangan di UIAM kampus Kuantan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here