Home Hiburan PENANTIAN DUA DEKAD YUSRY BERAKHIR

PENANTIAN DUA DEKAD YUSRY BERAKHIR

PETALING JAYA: Selepas lebih tiga dekad mengukuhkan nama sebagai penyanyi, komposer, pelakon dan pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim kembali dengan album solo terbaharu berjudul Eternal yang diterbitkan Sony Music Entertainment Malaysia.

Memetik laporan Berita Harian, Eternal menjadi album solo pertama Yusry selepas lebih dua dekad, sekali gus menandakan kemunculannya semula sebagai penyanyi solo menerusi karya yang mencerminkan sisi lebih matang dan dekat dengan perjalanan hidup.

Bagi meraikan pelancaran album itu, Yusry turut mengadakan sesi bertemu peminat, rakan media dan penggiat industri menerusi Eternal Gala Night di JioSpace, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Berkongsi idea menghasilkan album solo, anggota KRU itu berkata, semuanya bermula secara kebetulan ketika sambutan tahun baharu 2026 di Sarawak, awal tahun ini.

“Ketika itu, kami berada di dalam kereta dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Tiba-tiba pengurusan Sony Music Malaysia bertanya, sama ada saya berminat menghasilkan album solo. 

“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk menghasilkan album solo. Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, 2025 hanyalah tahun untuk konsert. Selepas itu, saya sangka semuanya berakhir di situ.

“Namun, orang kata rezeki tidak pernah salah alamat. Mungkin memang sudah tertulis rezeki itu datang pada waktu yang sesuai dan semuanya berlaku secara semula jadi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album dan showcase Eternal di JioSpace di sini, baru-baru ini.

Mengulas proses pembikinan album itu, Yusry berkata, beliau hanya memberi tumpuan aspek pemilihan lagu, manakala urusan konsep, penampilan dan promosi diserahkan sepenuhnya kepada pasukan produksi.

“Bagi projek album ini, saya terbabit dalam pemilihan dan pengumpulan lagu. Namun, dari sudut promosi, konsep, penampilan, gaya dan pemilihan pakaian, saya langsung tidak campur tangan.

“Bagi saya, itulah keindahannya apabila kita mengambil sedikit langkah ke belakang. Selama ini, apabila menguruskan semuanya sendiri, ada masanya idea menjadi terlalu biasa atau kurang segar,” katanya.

Yusry berkata, cabaran terbesar sepanjang menyiapkan Eternal adalah memilih hanya enam lagu daripada himpunan karya yang dimilikinya.

“Cabaran terbesar ialah saya hanya mempunyai ruang untuk memuatkan enam lagu. Hakikatnya, masih banyak lagi lagu yang belum digunakan.

“Jadi, lagu dalam album solo ini sebenarnya adalah karya yang sudah lama berada dalam koleksi peribadi saya. Semuanya sudah dicipta sejak dahulu, tetapi belum pernah diterbitkan,” katanya.

Mengulas pemilihan judul Eternal, Yusry berkata, ia melambangkan memori dan pengalaman hidup yang akan terus kekal dalam diri setiap insan.

“Saya memilih tajuk Eternal kerana percaya setiap orang mempunyai cerita yang akan kekal bersama mereka sepanjang hidup. Ada kenangan yang menggembirakan dan ada juga yang menyakitkan.

“Namun, semua pengalaman itu membentuk siapa diri kita pada hari ini. Saya berharap album ini dapat menjadi teman kepada pendengar, tidak kira di mana mereka berada dalam perjalanan hidup masing-masing,” katanya.

Album Eternal yang dilancarkan secara rasmi pada 25 Julai lalu menghimpunkan enam lagu, iaitu Narsisistik, Jiwa & Raga, Kasarnya Cinta, Kamu Harus Tahu, Hancur Kecewa dan Pelengkap Hidup.

Setiap karya dalam album itu membawa naratif tersendiri yang menggambarkan pelbagai aspek kehidupan, termasuk kenangan, kasih sayang, kehilangan, harapan serta pengalaman yang membentuk perjalanan setiap insan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here