Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Kekalahan tipis 4-5 keatas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan sirkit ketujuh Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL), kelmarin tidak terlalu menimbulkan kemarahan buat ketua jurulatih Pahang Rangers FC, Eloy Alonso Fraile.
“Pemain saya telah memberi persembahan yang terbaik dan penuh semangat sepanjang perlawanan, cuma hanya nasib tidak berpihak pada kita apabila terpaksa menerima kegagalan.
“Bukti semangat melawan pemain Tok Gajah dapat dilihat apabila bangkit selepas ketinggalan 0-3, kelekaan pemain lawan membolehkan jurang jaringan dapat dirapatkan. Usaha mencatat kemenangan tidak menjadikan kenyataan walaupun berkelebihan beraksi di gelanggang sendiri,” katanya, di sini semalam.
Pada perlawanan penuh dramatik di Stadium Tertutup SUKPA, di sini, jaringan pelawat disumbang oleh pemain kebangsaan, Mahadir Harahap Khairuddin pada minit ke-14 dan 21, Bruno Taffy (m23 dan m29) Bukhairi Samsudin (m25).
Gol Pahang Rangers oleh Ahmad Harith Naim Nasir pada minit ke-31 dan 38, diikuti Razin Rahim (m38) dan Sirhan Aiman Saipubahrim (m39).
Menurut Fraile, pemain telah memberi persembahan yang bertenaga dan semangat melawan yang tinggi, namun nasib tidak menyebelahi Pahang Rangers apabila tewas tipis di gelanggang sendiri dengan menyaksikan aksi yang begitu menarik.
“Kesungguhan pemain Pahang Rangers dapat dilihat sejak awal permainan, beberapa percubaan menggegarkan gawang lawan dihasilkan namun tidak dapat menewaskan penjaga gol lawan yang beraksi dengan baik.
“Saya memuji pemain (Harith Naim, Razin dan Sirhan) yang tidak menyerah kalah apabila berjaya menyumbang empat jaringan yang diperlukan,” katanya.
Mengenai kad merah yang diterima penjaga gol, Afiq Abdul Rahman, Fraile berkata, dia tidak menyalahkan pemain berkenaan kerana telah berusaha mengawal gawang pintu gol daripada dibolos.
Beliau berkata, pada sirkit ketujuh ini Pahang Rangers mencatat kemenangan menewaskan KL City 6-4. Tumpuan selepas ini untuk menghadapi sirkit kelapan di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor. Pertemuan dengan pasukan USM dan PFA ODIN.
Fraile berkata, usaha memburu kemenangan pada dua perlawanan akan datang menjadi misi pasukan Pahang Rangers yang begitu memerlukan kemenangan dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam liga.
IMedikel TV






