Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Lima warga Taiwan, termasuk seorang wanita, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini, atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita warga Cameroon bagi tujuan eksploitasi kerja, kira-kira tiga minggu lalu.
Tertuduh ialah Chien Te Hsi, 27; Liao Shao Wei, 36; Hung Min Hung, 35; Chao Jhih Ying, 35; dan Tseng Wei Ting, 29.
Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa memperdagangkan seorang individu warga Cameroon yang bukan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi kerja di sebuah premis di No. 2229, Jalan Utara Berapit, dalam daerah Seberang Perai Tengah, kira-kira jam 7 petang, pada 16 Julai lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadhirah Abdul Rahim, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam R Vikraman dan Naveen Chandra Bose.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan, selain memaklumkan kepada mahkamah bahawa kesemua tertuduh memasuki Malaysia tanpa memiliki pasport atau sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Bagaimanapun, peguam bela merayu supaya mahkamah memberikan jaminan pada kadar minimum dengan alasan sebahagian daripada tertuduh masih belajar dan mereka datang ke negara ini bagi mencari peluang pekerjaan.
Menurut peguam, pasport kesemua tertuduh didakwa telah diserahkan kepada ejen yang bertanggungjawab menguruskan perihal berkaitan pekerjaan tertuduh.
Hakim kemudian memberikan tempoh tiga minggu kepada pihak pendakwaan untuk menyemak status dokumen perjalanan kesemua tertuduh sebelum menetapkan 1 September depan bagi prosiding berkaitan jaminan.
Terdahulu, media melaporkan Polis Pulau Pinang membongkar kegiatan eksploitasi manusia dan sindiket penipuan pekerjaan menerusi beberapa serbuan berasingan di Seberang Perai Tengah dan Timur Laut pada 16 Julai lalu.
Dalam operasi itu, polis menyelamatkan seorang wanita warga Cameroon berusia 25 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi.
Ketua Polis negeri, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, dilaporkan berkata, serbuan dijalankan susulan laporan yang dibuat oleh seorang wakil komuniti Cameroon di Malaysia berhubung seorang wanita warganegara itu yang dipercayai dikurung dan dieksploitasi di Seberang Perai Tengah.
Hasil operasi itu turut menahan 29 warga asing terdiri daripada 20 lelaki dan sembilan wanita yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah.
IMedikel TV






