PSATHA, GREECE: Dua kru helikopter pemadam kebakaran maut selepas dua pesawat jenis Bell bertembung di udara ketika menjalankan operasi memadam kebakaran hutan di Psatha, barat Athens, pada Ahad.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, menurut perkhidmatan bomba Greece, kedua-dua juruterbang dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
Rakaman televisyen menunjukkan sebuah helikopter melanggar bahagian bawah sebuah lagi helikopter sebelum meletup dan terhempas ke tanah, manakala kru helikopter kedua berjaya diselamatkan.
Dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai seorang warga Denmark dan seorang warga Greece, menurut kenyataan Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis.
Insiden itu menjadikan jumlah korban akibat kebakaran di Greece minggu ini meningkat kepada lima orang selepas tiga anggota bomba maut dalam kebakaran berasingan di Crete dan Peloponnese.
Jabatan bomba turut menggantung sementara operasi semua helikopter Bell di kawasan berkenaan sehingga siasatan selesai.
Mitsotakis berkata, Greece kini berdepan keadaan cuaca ekstrem dengan tiupan angin mencecah 100 kilometer sejam yang menyukarkan operasi pemadaman.
“Apabila angin bertiup sekuat ini, walaupun puluhan pesawat yang kita miliki tidak dapat beroperasi dengan selamat,” katanya menerusi Facebook.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Jabatan Bomba Greece, Vassilis Vathrakogiannis berkata, sebanyak 220 kebakaran hutan dan kawasan pertanian dilaporkan di seluruh negara sejak Isnin lalu.
“Kami mungkin sedang melalui hari-hari paling sukar sepanjang musim panas ini,” katanya.
Helikopter terbabit disewa daripada syarikat Australia, McDermott Aviation yang menyediakan 15 helikopter bagi operasi pemadaman kebakaran di Greece.
Pihak berkuasa memaklumkan kawasan Athens, Voiotia dan pulau Evia dijangka terus berdepan risiko kebakaran tinggi susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






