Home Sukan KONTINJEN PAHANG BURU 35 PINGAT EMAS SUKMA SELANGOR

KONTINJEN PAHANG BURU 35 PINGAT EMAS SUKMA SELANGOR

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Sebanyak 35 pingat menjadi buruan kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang pada temasya SUKMA Selangor 2026 pada 15 hingga 24 Ogos ini.

Dengan prestasi atlet yang berada di kemuncak, tidak mustahil sasaran pungutan pingat emas dapat dicapai mengatasi pencapaian SUKMA Sarawak 2024 dengan 23 pingat emas.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal, berkata sasaran itu bersandarkan kepada prestasi dan pencapaian semasa atlet Pahang ketika ini.

“Kontinjen Pahang kali ini diwakili 737 atlet, masing-masing 397 lelaki dan 340 wanita yang menumpukan kepada acara sukan yang menjadi penyumbang utama pingat emas.

“Antara acara berkenaan ialah menembak kerana kita juara keseluruhan di SUKMA Sarawak 2024 selepas mendapat 12 emas dan kali ini mahu mengulangi kejayaan itu atau pencapaian lebih baik.

“Acara lain yang menjadi kebanggaan kita sebelum ini iaitu angkat berat, silat dan sukan baharu seperti memanah dan judo,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pahang ke temasya SUKMA dan Para Sukma 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, kelmarin.

Majlis itu disempurnakan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Fadzli berkata, pada temasya Para Sukma Selangor 5 hingga 10 September depan, sebanyak 15 emas menjadi sasaran Pahang yang mempertaruhkan 75 atlet, masing-masing 49 lelaki dan 26 wanita.

“Barisan atlet SUKMA kali ini adalah yang terbaik selepas melalui proses pemilihan serta latihan intensif untuk memastikan hanya yang benar-benar bersedia dipertanggungjawabkan menggalas amanah negeri.

“Mudah-mudahan segala usaha, pengorbanan dan doa yang mengiringi kontinjen ini akan diterjemahkan kepada kejayaan yang membanggakan negeri Pahang,” katanya.

Pada SUKMA Sarawak 2024, kontinjen Sukma Pahang meraih 23 pingat emas, 21 perak dan 32 gangsa, manakala Para SUKMA pula membawa pulang 15 emas, lima perak dan sembilan gangsa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here