Home Buletin Semasa BOM TANGAN ASAP DISOROK DALAM KABINET DAPUR RUMAH SUSPEK DADAH

BOM TANGAN ASAP DISOROK DALAM KABINET DAPUR RUMAH SUSPEK DADAH

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Serbuan polis ke atas sebuah rumah yang dipercayai dijadikan lokasi kegiatan pengedaran dadah di Taman Gemilang Indah di Bukit Mertajam, membawa kepada penemuan mengejutkan apabila dua butir bom tangan asap ditemui disorok di dalam kabinet dapur.

Bom tangan asap itu ditemui di dalam sebuah kotak besi ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah menjalankan serbuan kira-kira jam 6.40 petang Khamis lalu hasil risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, serbuan itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan, masing-masing berusia 47 tahun.

“Hasil pemeriksaan menemui dadah disyaki heroin, methamphetamine dan ganja selain beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pembungkusan dan pengedaran dadah.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kabinet dapur rumah berkenaan kemudian menemui sebuah kotak besi yang mengandungi dua butir bom tangan asap,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, hasil maklumat yang diperoleh daripada serbuan itu membawa kepada operasi susulan sebelum seorang lagi lelaki tempatan berusia 46 tahun berjaya ditahan.

Beliau berkata, semakan mendapati tangkapan pertama mempunyai satu rekod kesalahan dadah, manakala dua lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan jenayah atau dadah.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati tangkapan pertama positif ganja, manakala dua lagi suspek didapati negatif terhadap penyalahgunaan dadah.

Nik Aminuddin berkata, polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita tiga kereta, lima motosikal, tiga cincin emas serta wang tunai RM5,700, menjadikan keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM303,400.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga 6 Ogos bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Polis akan terus mempergiatkan operasi bagi mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah serta pemilikan bahan letupan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah atau jenayah lain diseru menyalurkan maklumat kepada polis kerana kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara,” katanya.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here