Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti samseng jalanan menerusi Op Motosikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di Jalan Persiaran Raya, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, operasi bermula kira-kira jam 2 pagi itu dilaksanakan susulan aduan orang awam mengenai kegiatan samseng jalanan dan aksi menunggang motosikal secara berbahaya yang sering berlaku di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, operasi berkenaan membabitkan seorang pegawai dan enam anggota BSPT IPD Gua Musang.
“Hasil pemantauan di lokasi, pasukan operasi mengesan sebuah motosikal yang ditunggang secara berbahaya dan dipercayai melakukan aksi menguji kelajuan di jalan raya awam.
“Apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, penunggang motosikal terbabit bertindak melarikan diri sebelum dikejar pasukan polis. Suspek bagaimanapun hilang kawalan lalu terbabas ke dalam kawasan semak sebelum berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, remaja tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan, manakala motosikal yang digunakan turut dirampas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.
Dalam operasi sama, beliau berkata polis memeriksa seramai 22 individu dan 18 motosikal serta mengeluarkan 57 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Antara kesalahan dikesan ialah memandu tanpa lesen, kesalahan nombor pendaftaran, pengubahsuaian ekzos, cermin sisi, insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM), aksesori kenderaan serta membenarkan individu tanpa lesen memandu menggunakan kenderaan,”katanya.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiatkan operasi dan penguatkuasaan secara berterusan terutama di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti samseng jalanan.
Katanya, setiap aduan yang diterima daripada masyarakat akan diberi perhatian dan tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Beliau turut menyeru ibu bapa dan penjaga agar memainkan peranan lebih aktif dalam memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram atau menunggang motosikal tanpa lesen yang sah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan atau kesalahan lalu lintas diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras aktiviti berbahaya itu.
IMedikel TV






