Jakarta: Seorang petani ditemukan maut di dalam perut ular sawa, semalam, selepas dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di wilayah Maluku Utara, Isnin lalu, lapor Jakarta Globe.
Memetik laporan Harian Metro, Mangsa, Hasim Lembesi, 40, adalah penduduk kampung Waisakai di daerah Mangoli Timur Utara, Kabupaten Kepulauan Sula.
Menurut polis tempatan, Hasim keluar dari kampung pada malam Isnin tetapi tidak pulang di rumah menyebabkan ahli keluarga dan penduduk kampung mencari lelaki berkenaan.
Pasukan pencari kemudian menemukan barangan milik mangsa serta kesan darah di tepi jalan yang dipercayai dilaluinya, sebelum menemukan seekor ular sawa berhampiran kawasan itu dengan bahagian badan yang besar secara luar biasa.
Penduduk kampung dengan bantuan pegawai polis kemudiannya membunuh ular terbabit sebelum membelah perutnya, dan menemukan mayat Hasim.
Jurucakap Polis Kepulauan Sula, Jaya Afandi M. Soamole mengesahkan kejadian berkenaan.
Video tular menunjukkan penduduk dan pihak polis mengeluarkan mayat mangsa selepas perut ular sawa itu dibelah.
Serangan ular sawa yang membawa maut adalah sangat jarang berlaku, namun pernah dilaporkan di Indonesia, yang menjadi habitat beberapa spesies ular sawa batik (reticulated python) terbesar di dunia.
Kebanyakan insiden berlaku di kawasan luar bandar dan membabitkan penduduk yang bekerja bersendirian di dalam hutan atau ladang.-HMetro Online-
IMedikel TV






