Jakarta: Polis menyiasat kematian seorang lelaki yang dilaporkan berkhidmat sebagai pembantu peribadi kepada Ketua Pendakwa Raya Jenayah Khas di Jabatan Peguam Negara Indonesia, Febrie Adriansyah yang ditahan minggu lalu, lapor Jakarta Globe.
Memetik laporan Harian Metro, Jurucakap Polis Jakarta, Budhi Hermanto berkata, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Sutrimo, ditemukan tidak sedarkan diri di luar sebuah klinik di Jakarta Selatan pada Khamis lalu, dan dibawa dengan ambulans ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Katanya, penyiasat menyoal siasat saksi termasuk ahli keluarga Sutrimo, pemandu ambulans, kakitangan hospital dan pihak lain yang mungkin mempunyai maklumat mengenai kejadian itu.
Polis juga sedang menyemak rekod perubatan mangsa, rekod perkhidmatan ambulans serta lokasi di mana dia ditemukan.
“Siasatan sedang dijalankan secara profesional, teliti dan mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mengenal pasti semua fakta. Oleh kerana ia masih berjalan, kami belum dapat menentukan punca kematian,” katanya, Ahad lalu.
Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sah, sementara siasatan sedang dijalankan.
Dua hari sebelumnya, Pejabat Peguam Negara menahan Febrie selepas mengambil alih siasatan rasuah daripada pihak polis.
Kes itu berpusat kepada penemuan 74 kilogram jongkong emas dan jutaan dolar wang tunai yang disembunyikan di dalam kabinet rahsia di salah sebuah rumahnya di Bogor.
Febrie dan seorang ahli perniagaan dikenal pasti sebagai suspek rasuah sebelum polis menyerahkan siasatan berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara.
Kes terbabit menarik perhatian seluruh negara kerana Febrie sebelum ini berkhidmat sebagai pendakwa raya rasuah tertinggi di Indonesia dan mengendalikan beberapa siasatan berprofil tinggi yang membabitkan pegawai kanan awam.-HMetro Online-
IMedikel TV






