Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
JERANTUT: Risiko disengat lebah dan memanjat pokok tualang yang menjulang tinggi tidak pernah mematahkan semangat Hishamuddin Baharuddin, 52, untuk terus mencari rezeki sebagai pencari madu lebah tualang.
Berasal dari Kampung Ulu Cheka di sini, Hishamuddin berkata, pengalaman lebih 10 tahun mengusahakan aktiviti itu mengajarnya bahawa sengatan lebah adalah lumrah yang perlu dihadapi setiap kali memanjat pokok bagi mendapatkan madu.
“Setiap kali melakukan kerja berkenaan dia biasanya menerima antara dua hingga 10 sengatan pada beberapa bahagian badan ketika berada di atas pokok.
“Walaupun disengat, saya hanya mengambil satu sudu madu sebagai penawar untuk mengurangkan rasa sakit dan bisa sengatan. Bengkak memang ada, tetapi kesakitannya dapat dikurangkan,” katanya.
Menurut Hishamuddin, satu lagi petua yang diamalkannya ialah menyapu sedikit madu pada pakaian bagi mengurangkan serangan lebah ketika berada di atas pokok tualang

“Apabila pakaian disapu madu, lebah seolah-olah kurang berminat untuk menyerang. Namun, saya tetap perlu sentiasa berhati-hati kerana apa sahaja boleh berlaku ketika berada di atas pokok. Doa sentiasa menjadi bekalan sepanjang melakukan kerja ini,” katanya.
Beliau berkata, proses mengambil madu mengambil masa antara satu hingga tiga jam bergantung kepada jumlah sarang yang terdapat pada pokok tualang, dengan ada kalanya mencecah sehingga 20 sarang.
Menurutnya, setiap sarang mampu menghasilkan antara 10 hingga 20 kilogram madu yang berada pada bahagian dikenali sebagai ‘kepala air’.
“Kualiti madu pula dipengaruhi musim pokok hutan berbunga yang menentukan jumlah, warna, aroma dan rasanya,”katanya.
Katanya, kerja memanjat dilakukan menggunakan teknik memacak paku pada batang pokok dan memerlukan tahap kecergasan yang tinggi kerana selain memanjat pokok yang tinggi, perjalanan jauh meredah hutan turut menjadi cabaran.
“Biasanya saya mengambil madu bermula April hingga September kerana ketika itu kebanyakan pokok di dalam hutan sedang berbunga.
“Saya tidak menggunakan jampi atau amalan tertentu. Saya hanya berdoa dan membaca Bismillah sebelum mula memanjat pokok serta sebelum memotong bahagian ‘kepala air’ yang mengandungi madu,” katanya.
Menurut Hishamuddin, saat paling menggembirakan ialah apabila baldi berisi madu berjaya diturunkan menggunakan tali dan selamat sampai ke tanah
“Itulah detik paling memuaskan kerana hasil penat lelah akhirnya berjaya diperoleh. Namun, pernah juga beberapa kali baldi yang membawa antara 15 hingga 20 kilogram madu terjatuh ketika proses menurunkannya,” katanya.
IMedikel TV






