QUSRA: Pegawai Palestin mendakwa peneroka haram Israel membakar dua masjid di Tebing Barat yang diduduki pada awal pagi semalam, selepas pertempuran berdarah di wilayah itu mengorbankan enam nyawa minggu ini.
Memetik laporan Agensi menerusi harian Metro, Datuk Bandar Qusra, selatan Nablus, Abdel Azim Wadi, berkata sekumpulan peneroka haram Israel membakar sebuah masjid yang masih dalam pembinaan di bahagian selatan bandar itu.
“Api memusnahkan pintu masuk masjid dan turut merosakkan struktur batu bangunan itu,” katanya kepada AFP.
Beliau berkata, penyerang turut menyembur cat pada dinding masjid dengan tulisan dalam bahasa Ibrani, termasuk perkataan ‘balas dendam’.
Tentera Israel berkata anggotanya dikerahkan ke pinggir Qusra selepas menerima laporan mengenai kebakaran di sebuah masjid.
Menurut tentera, anggotanya menjalankan operasi mengesan suspek yang melarikan diri sebelum mereka tiba di lokasi, selain menemui kesan kebakaran yang dipercayai disengajakan serta contengan pada dinding masjid.
Katanya, polis Israel akan menjalankan siasatan dan mengumpul bahan bukti.
Dalam kejadian berasingan, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin berkata sekumpulan pendatang haram Israel turut membakar sebuah masjid di kampung Kour, berhampiran Tulkarem.
Kementerian itu berkata kumpulan pendatang haram Israel membakar masjid berkenaan dan meninggalkan tulisan berunsur perkauman pada dindingnya.
Lewat malam tadi tentera Israel memaklumkan lebih 130 individu dikehendaki ditahan dalam operasi di seluruh Tebing Barat sepanjang hujung minggu.
Mereka yang ditahan termasuk penyeludup senjata, anggota Hamas, individu yang didakwa menghasut keganasan dan mereka yang disyaki merancang serangan.
Menurut tentera Israel, operasi dijalankan di ratusan lokasi dengan ratusan suspek turut disoal siasat.
Tentera Israel turut memaklumkan mereka mengenal pasti kediaman dua rakyat Palestin yang didakwa terbabit dalam pertempuran pada Jumaat lalu.
Mereka juga mendakwa terdapat peningkatan kandungan berunsur hasutan di media sosial Palestin, selain peningkatan kecenderungan melakukan serangan yang meniru kes terdahulu.
Sementara itu, seorang pegawai Israel berkata Kabinet Keselamatan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, meluluskan rangka kerja undang-undang bagi membolehkan pasukan antarabangsa memasuki Gaza.
Netanyahu dijadual berlepas ke Washington hari ini dan dijangka bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, esok.
Menurut pegawai itu, misi dikenali sebagai Pasukan Penstabilan Antarabangsa akan membabitkan 200 anggota dari negara yang dianggap mesra Israel, termasuk Uganda dan Maghribi.
Pasukan itu akan ditempatkan di kawasan Gaza yang tidak berada di bawah kawalan Israel.
Bagaimanapun, setiap kumpulan perlu mendapat kelulusan Israel sebelum dibenarkan memasuki Gaza dan tarikh penempatan mereka masih belum diumumkan. — AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






