Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUANTAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara melumpuhkan beberapa aktiviti pemprosesan, penyimpanan dan pengedaran air ketum menerusi Operasi Bersepadu MITRA Bil. 1/2026, dengan merampas 274 kilogram daun ketum, 986.8 liter air ketum serta pelbagai peralatan pemprosesan bernilai keseluruhan RM55,544.
Operasi yang dijalankan secara serentak di sembilan lokasi di Pahang, Terengganu dan Kelantan dari 21 Julai hingga Khamis lalu itu turut membawa kepada penahanan enam individu, termasuk dua suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi, operasi berkenaan membabitkan lima Pegawai Kanan Polis dan 53 Pegawai Rendah Polis daripada Ibu Pejabat Briged Tenggara serta Batalion 7, Batalion 8 dan Batalion 9 PGA.
“Hasil risikan mendapati sindiket memperoleh bekalan daun ketum daripada beberapa pembekal tempatan sebelum diproses dan diedarkan kepada pelanggan di sekitar kawasan operasi.
“Kejayaan operasi itu turut membawa kepada rampasan pelbagai peralatan pemprosesan yang digunakan sindiket, sekali gus menjejaskan rantaian pembekalan dan pengedaran air ketum di tiga negeri terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, manakala dua suspek yang didapati positif dadah disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,”jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) di daerah terlibat untuk tindakan lanjut.
PGA berkata, kejayaan operasi itu membuktikan komitmen berterusan pasukan itu dalam memperkukuh usaha membanteras aktiviti pemprosesan, penyimpanan dan pengedaran air ketum serta penyalahgunaan dadah melalui operasi berasaskan risikan, pemantauan lapangan dan penguatkuasaan yang terselaras.
Menurut kenyataan itu, PGA akan terus mempergiat operasi bersepadu, memperkukuh risikan dan meningkatkan tindakan penguatkuasaan bagi mengesan dalang utama, memutuskan rantaian pembekalan serta pengedaran air ketum demi menjamin keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat.
IMedikel TV






