KUALA LUMPUR: Jurulatih sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memuji semangat juang serta keazaman tinggi dipamerkan anak buahnya selepas bangkit menewaskan Myanmar 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Thuwunna, Yangon, hari ini.
Memetik laporan Harian Metro, beliau berkata, kemenangan itu bukan sahaja memberikan suntikan keyakinan kepada pasukan, malah membuktikan perkembangan positif yang dicapai skuad negara walaupun masih dalam proses membina keserasian selepas dibarisi beberapa pemain baharu.
Menurutnya, beberapa pemain juga baru kembali menjalani latihan pramusim menyebabkan pasukan masih memerlukan masa untuk mencapai tahap kecergasan, persefahaman dan karakter permainan yang diinginkan.
“Sudah tentu keputusan ini memberi keyakinan kepada saya. Kami tahu masih terdapat beberapa kelemahan dan kami masih dalam proses membentuk karakter pasukan.
“Kami sentiasa memberi tumpuan kepada satu perlawanan pada satu masa. Saya berharap dalam satu atau dua perlawanan lagi, kami akan lebih bersedia dari segi kerja berpasukan, persefahaman dan keserasian,” katanya.
Dalam aksi menentang Myanmar itu, Harimau Malaya terlebih dahulu ketinggalan selepas Myat Kaung Khant meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-10 sebelum Paulo Josue muncul wira dengan dua jaringan pada babak kedua untuk memastikan tiga mata menjadi milik Malaysia.
Cheng Hoe turut memuji peranan kapten Harimau Malaya, Paulo Josue yang disifatkan memainkan peranan penting dalam membimbing pasukan yang menggabungkan pemain muda dan berpengalaman.
Selepas ini, Harimau Malaya akan meneruskan kempen Kumpulan B menentang Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Selasa ini sebelum bertandang ke Bangkok untuk berdepan Thailand pada 1 Ogos.
Skuad negara kemudian menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan melayan kunjungan Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 8 Ogos.-HMetro Online-
IMedikel TV






