Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kesungguhan seorang ibu menyiapkan kostum robot buat anak sulungnya selama hampir seminggu berbaloi apabila Muhammad Mikhael Haider, 6, muncul juara pertandingan pakaian bertemakan robotik sempena Fun Walk Edu Fun MADANI Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1, hari ini.
Kemenangan itu membolehkan murid Tadika Zhilal An Nur, Wakaf Che Yeh itu membawa pulang hadiah wang tunai serta sebuah kipas angin.
Ibunya, Murni Shazipah Abdul Rahim, 29, dari Pintu Geng berkata, idea menghasilkan kostum robot itu tercetus kerana minat anaknya terhadap robot.
Menurutnya, kostum berkenaan dihasilkan sendiri dengan mengambil masa hampir seminggu, termasuk proses mengecat dan menambah pelbagai aksesori bagi memastikan ia kelihatan menarik.
“Saya lihat dia memang minat robot, jadi saya cuba hasilkan kostum ini sendiri. Saya banyak mencari idea melalui media sosial sebelum mengubah suainya mengikut kreativiti sendiri.
“Walaupun mengambil masa hampir seminggu untuk disiapkan, saya gembira kerana anak begitu teruja memakainya,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV selepas tamat acara berkenaan.

Menurut Murni Shazipah, walaupun kostum itu agak panas ketika dipakai, anaknya tetap bersemangat menghabiskan laluan berjalan kaki sejauh tiga kilometer.
“Dia ada mengadu panas, jadi kami buka sedikit bahagian penutup kepala supaya lebih selesa. Tetapi dia tetap berjalan dengan penuh semangat, malah lebih laju daripada saya,” katanya sambil tersenyum.
Beliau berkata, penyertaan kali ini adalah pengalaman pertama buat Muhammad Mikhael Haider, manakala dirinya pernah menyertai program seumpama itu sebelum ini.
Katanya, kemenangan tersebut menjadi kenangan manis buat anaknya dan berharap lebih banyak program bertemakan kreativiti serta pendidikan dapat dianjurkan pada masa hadapan.
Hadiah tempat pertama itu disampaikan Timbalan Presiden IMedikel, Hasnah Zakaria.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Nik Ahmad Shahriman Nik Abdullah, 43, dari Kubang Kerian menyifatkan penganjuran program berkenaan antara yang terbaik pernah disertainya.

Beliau yang sudah menyertai lebih 20 program fun walk berkata, kehadiran kira-kira 7,000 peserta membuktikan sambutan luar biasa masyarakat terhadap program yang menggabungkan elemen pendidikan, teknologi dan gaya hidup sihat.
“Saya memang terkejut melihat penyertaan yang begitu ramai. Pengurusan program juga sangat baik, bermula daripada parkir, laluan sehingga stesen rehat yang disediakan.
“Yang paling menarik ialah tema robotik kerana pelbagai agensi turut mempamerkan inovasi dan teknologi, sekali gus menjadikan program ini lebih meriah berbanding fun walk biasa,” katanya.
Program Fun Walk Bertema Robotik yang diadakan sempena Karnival Edu Fun MADANI PPD Kota Bharu 2026 berjaya menghimpunkan kira-kira 7,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha memupuk amalan hidup sihat, di samping menyemarakkan minat terhadap dunia Sains dan Teknologi melalui pendekatan yang santai dan menyeronokkan.
IMedikel TV






