Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap isu buli di sekolah yang disifatkan masih berlaku walaupun pelbagai pihak sering memperkatakan soal perubahan, pendidikan dan pembentukan akhlak dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata, setiap kali isu buli dibangkitkan, khususnya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, ia menimbulkan rasa tidak senang kerana perbuatan itu bertentangan dengan nilai yang ingin diterapkan dalam sistem pendidikan negara.
“Saya sangat tidak senang kerana apa? Kalau dalam mesyuarat Jemaah Menteri, saya dengar ada satu kes buli di sekolah. Saya sangat tidak senang.
“Kita selalu bicara soal perubahan, pendidikan, akhlak namun di kalangan anak-anak masih berlaku (masalah buli) begitu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Anwar berkata, walaupun kes buli yang berlaku mungkin tidak banyak, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan kezaliman terhadap mangsa.
Menurutnya, terdapat juga keadaan apabila sesuatu kes tidak didedahkan kepada umum kerana pihak sekolah mahu mengelakkan publisiti negatif.
“Mungkin jumlahnya tidak ramai, tetapi kita perlu sedar masalah ini boleh berlaku di mana-mana sekolah. Ada kes yang tidak dihebahkan kerana pengetua atau guru mahu mengelakkan imej negatif, namun akhirnya mangsa yang didera tidak mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk guru, pengetua dan pelajar berganding bahu mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, harmoni dan berteraskan nilai akhlak yang tinggi.
Menurutnya, pembinaan sekolah yang moden dan lengkap dengan pelbagai kemudahan perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah serta pengisian ilmu yang berkualiti.
“Sebagaimana majlis hari ini ia bukan sekadar merasmi satu sekolah baharu yang lebih canggih dan indah tapi biar hasilnya itu juga canggih dan indah.
“Kadang-kadang orang terpukau. Nak masjid, yang paling indah, yang cantik. Nak sekolah ini, gagah, indah tetapi kurang penekanannya terutama pengisian dari segi ilmu,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa perubahan dalam dunia pendidikan tidak hanya bergantung kepada kemudahan fizikal atau status sesebuah institusi, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui keperibadian, disiplin dan akhlak setiap warga sekolah.
“Bukan saja guru, tetapi anak-anak bertanggungjawab. Kita ini harus beri contoh yang terbaik kerana perubahan itu berdasarkan peribadi dan akhlak terbaik,” katanya.
IMedikel TV






