Home Buletin Semasa KANSER TULANG BUKAN PENGHALANG, AQIB HAKIM GENGGAM IMPIAN KE UMPSA

KANSER TULANG BUKAN PENGHALANG, AQIB HAKIM GENGGAM IMPIAN KE UMPSA

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Penyakit kanser tulang yang dihidapi sejak kecil bukan alasan untuk Muhammad Aqib Hakim Mohd Aliazhar menguburkan impiannya menjejakkan kaki ke menara gading.

Sebaliknya, ketabahan dan semangat juang remaja berusia 18 tahun dari Kluang, Johor itu membolehkan beliau kini bergelar mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) apabila diterima mengikuti pengajian Diploma dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Muhammad Aqib Hakim berkata, pengalaman bertarung dengan kanser tulang selama sembilan tahun mengajarnya untuk tidak mudah berputus asa, malah terus bangkit mengejar cita-cita walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Saya tidak boleh mengalah dalam mengejar impian ke menara gading. Penyakit yang saya tanggung tidak pernah melemahkan semangat untuk memiliki segulung diploma.

“Saya perlu terus bangkit dan bergerak seiring dengan rakan-rakan lain tanpa rasa kecewa atau berputus asa sebelum berjuang,” katanya ketika ditemui di UMPSA, hari ini.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, penyakit kanser tulang mula dikesan ketika beliau berusia sembilan tahun selepas kaki kanannya mengalami bengkak yang pada awalnya mendapatkan rawatan di beberapa klinik swasta.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di Hospital Kluang mengesahkan terdapat sel kanser pada tulang kaki kanannya.

Katanya, antara 2017 hingga 2020, beliau menjalani enam sesi kemoterapi bagi memusnahkan serta merencatkan pertumbuhan sel kanser.

Lebih mencabar, pada 2018 beliau terpaksa menjalani pembedahan membuang kira-kira 15 sentimeter tulang kaki kanan yang dijangkiti kanser bagi mengelakkan penyakit itu merebak dan mengancam nyawanya.

“Sepanjang tempoh rawatan, saya berulang-alik ke Hospital Sultan Ismail, Johor ditemani ibu, Noriedayu Missdi yang sentiasa memberi sokongan dan tidak pernah jemu menjaga saya,” katanya.

Akibat pembedahan itu, Muhammad Aqib Hakim kini mengalami kecacatan kekal apabila tidak dapat mengangkat kaki kanan secara normal dan sering mengalami kekejangan sekiranya melakukan aktiviti fizikal yang berat.

Beliau berkata, doktor pernah mencadangkan pembedahan bagi menggantikan tulang yang dibuang untuk membolehkannya berjalan seperti biasa, namun buat masa ini beliau belum bersedia kerana perlu menggunakan kerusi roda selama kira-kira setahun selepas pembedahan.

Walaupun berdepan kekurangan fizikal, beliau tetap aktif bersukan dan mampu berlari sejauh lapan kilometer.

“Saya bersyukur impian melanjutkan pelajaran di UMPSA kampus Gambang akhirnya menjadi kenyataan. Lebih menggembirakan apabila saya turut menerima Dermasiswa B40 UMPSA yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan sebagai pelajar.

“Kecacatan kekal yang saya alami bukan penghalang untuk terus berjaya dalam pendidikan dan mengejar cita-cita,” katanya penuh semangat.

Kisah Muhammad Aqib Hakim membuktikan bahawa kekuatan azam dan semangat yang tinggi mampu mengatasi segala cabaran, sekali gus menjadi inspirasi kepada golongan muda agar tidak mudah mengalah dalam mengejar impian.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here