LONDON: Arsenal mengesahkan pertahanannya William Saliba akan berehat lebih lama selepas cedera di bahagian belakang ketika mewakili Perancis di Piala Dunia.
Saliba bergelut dengan kecederaan itu sepanjang kejohanan di Amerika Syarikat sehingga mengehadkan sesi latihannya sebelum dikeluarkan selepas hanya 30 minit ketika Perancis tewas kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, pemain berusia 25 tahun itu turut terlepas perlawanan penentuan tempat ketiga yang menyaksikan Perancis tewas kepada England.
“Penilaian lanjut oleh pakar sebaik William kembali ke London minggu ini mengesahkan beliau mengalami kecederaan belakang yang memerlukan tempoh pemulihan.
“Selepas penilaian menyeluruh, pakar memutuskan pembedahan tidak diperlukan, namun William kini akan memulakan program pemulihan yang dipantau rapi.
“Semua pihak di kelab kini memberi tumpuan sepenuhnya untuk membantu William kembali cergas secepat mungkin,” kata Arsenal dalam satu kenyataan.
Arsenal akan memulakan misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan menerima kunjungan kelab yang baru dinaikkan pangkat, Coventry City, pada 21 Ogos. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






