Home Buletin Semasa USM JALIN KERJASAMA DENGAN SNIBE, PERKASA INOVASI DIAGNOSTIK KESIHATAN

USM JALIN KERJASAMA DENGAN SNIBE, PERKASA INOVASI DIAGNOSTIK KESIHATAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUBANG KERIAN: Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi penyelidikan bertaraf dunia apabila memeterai Perjanjian Geran Penyelidikan (Research Grant Agreement) bersama syarikat bioperubatan antarabangsa, Shenzhen New Industries Biomedical Engineering Co. Ltd. (Snibe), bagi memperkasakan penyelidikan translasi, inovasi diagnostik serta pembangunan penjagaan kesihatan berasaskan bukti.

Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Datuk Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen bersama antara institusi akademik dan industri dalam memajukan penyelidikan, inovasi serta bidang diagnostik perubatan.

Menurutnya, sebagai sebuah universiti penyelidikan, USM sentiasa percaya kerjasama strategik merupakan pemangkin penting dalam menterjemahkan penemuan saintifik kepada penyelesaian praktikal yang mampu memenuhi keperluan sebenar sektor penjagaan kesihatan.

“Kerjasama ini menghimpunkan kepakaran pelbagai disiplin daripada Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) bersama kepakaran industri yang dimiliki Snibe dalam bidang diagnostik perubatan.

“Melalui gabungan kekuatan akademik dan industri ini, kita berharap lebih banyak peluang dapat diwujudkan dalam aspek pertukaran ilmu, pembangunan profesional, penyelidikan kolaboratif serta penghasilan inovasi yang memberi manfaat kepada penyelidik, pelajar, klinisian dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian Perjanjian Geran Penyelidikan antara USM dan Snibe di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian.

Dr. Shaiful Bahari berkata, majlis itu turut menyaksikan pemeteraian dua projek penyelidikan utama yang dijangka memberi impak besar kepada bidang diagnostik makmal dan kesihatan reproduktif.

Katanya, projek pertama yang diketuai Profesor Madya Dr. Karyatee Kassim memberi tumpuan kepada pembangunan julat rujukan fungsi hormon tiroid darah tali pusat bagi bayi baharu lahir.

“Kajian ini dijangka menjadi yang pertama di Malaysia dan antara yang terawal di Asia dalam membangunkan julat rujukan komprehensif bagi ujian fungsi tiroid darah tali pusat, sekali gus menyokong pengesanan awal gangguan tiroid kongenital serta meningkatkan ketepatan keputusan klinikal,” katanya.

Beliau berkata, projek kedua yang diketuai Profesor Madya Dr. Tuan Salwani Tuan Ismail pula memberi fokus kepada pembangunan julat rujukan hormon Anti-Müllerian (AMH) berdasarkan kategori Indeks Jisim Badan (BMI) wanita Malaysia serta mengkaji hubungan status vitamin D terhadap rizab ovari.

Menurutnya, kajian itu dijangka menghasilkan julat rujukan AMH mengikut BMI yang pertama di Malaysia, sekali gus meningkatkan ketepatan penilaian kesuburan wanita, menyokong pendekatan penjagaan kesihatan reproduktif yang lebih diperibadikan serta menyumbang kepada pembangunan perubatan tepat (precision medicine).

Beliau berkata, kedua-dua projek berkenaan membuktikan komitmen berterusan USM dalam menghasilkan penyelidikan translasi berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan klinikal sebenar, di samping memperkukuh kerjasama pelbagai disiplin antara PPSP, PPSG dan rakan industri.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Snibe atas kepercayaan yang diberikan kepada USM serta mengucapkan tahniah kepada kedua-dua ketua projek dan pasukan penyelidik atas komitmen dalam merealisasikan kerjasama penyelidikan ini.

“Saya yakin kolaborasi ini akan membuka lebih banyak peluang dalam bidang penyelidikan, pembangunan kapasiti, inovasi dan pembangunan profesional, sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan akademik serta meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di Malaysia,” katanya.

Turut hadir Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) PPSP USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) PPSP USM, Profesor Dr. Asrenee Ab. Razak serta Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti) PPSG USM, Ts. Dr. Norhayati Yusop.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here