Home Buletin Semasa REMAJA 16 TAHUN ANTARA LAPAN DIBERKAS, SINDIKET DADAH BERNILAI RM3.14 JUTA TUMPAS

REMAJA 16 TAHUN ANTARA LAPAN DIBERKAS, SINDIKET DADAH BERNILAI RM3.14 JUTA TUMPAS

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun antara lapan individu yang ditahan terbabit sindiket pengedaran dadah bernilai RM3.14 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 9 malam hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan itu membawa kepada penahanan tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 16 hingga 78 tahun.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir berhampiran sebuah hotel di Johor Bahru yang membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah Perodua Bezza milik datuk kepada remaja terbabit menemukan 50 paket plastik berisi dadah disyaki methamphetamine seberat 60.78 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM3.04 juta.

“Serbuan susulan di hotel yang sama pula membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki tempatan, namun tiada barang salah ditemukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati remaja terbabit bersama seorang lelaki warga asing berperanan sebagai penghantar dadah, manakala seorang lagi bertindak sebagai ‘runner’.

Katanya, dua lagi suspek dikenal pasti sebagai orang kanan yang membantu menguruskan operasi sindiket, manakala suspek ketujuh yang berusia lingkungan 50-an dipercayai ketua sindiket.

“Suspek kelapan pula dipercayai menjadi perancang utama yang mengatur keseluruhan operasi sindiket.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal Mei lalu dengan menjadikan kenderaan sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.

Menurut beliau, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan mampu dibekalkan kepada kira-kira 303,900 penagih.

Mengulas mengenai penglibatan remaja berusia 16 tahun itu, Ab Rahaman berkata, siasatan dan semakan mendapati suspek bukan lagi pelajar kerana telah berhenti sekolah sejak Januari tahun lalu.

“Dengan kata lain, dia telah tercicir daripada alam persekolahan dan diabaikan oleh keluarganya.

“Justeru, polis mengingatkan kepada semua warga Johor terutama ibu bapa supaya mengambil berat aspek pengawalan anak-anak agar tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah kerana.

“Sekiranya mereka ditangkap dan didakwa, masa depan mereka akan musnah,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek, termasuk remaja berkenaan, positif methamphetamine, manakala lima lagi negatif dadah.

“Semakan rekod lampau pula mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah.

“Dalam operasi sama, polis turut menyita pelbagai aset bernilai RM100,162 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, termasuk sebuah Toyota Camry, sebuah Proton Saga serta pelbagai barang kemas.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM3.14 juta,”katanya.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 Julai ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here