Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Tiga lelaki maut selepas lori lima tan yang membawa bekalan ayam merempuh sebuah treler yang diparkir di bahu jalan dalam kemalangan di Lebuhraya Timur Barat, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.26 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu lori, Norazeman Abdul Aziz, 42, serta dua kelindan, Mohammad Zakwan Mohd Nor, 25, dan Mohd Haikal Hanifah, 29.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Mat Nuri Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sebelum menggerakkan anggota dari BBP Tanah Merah dan BBP Kemahang ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 4.41 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan yang membawa bekalan ayam melanggar sebuah treler yang diparkir di tepi jalan.
“Ketiga-tiga mangsa didapati tersepit di dalam lori. Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
“Bagaimanapun, semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah bagi proses bedah siasat.
Operasi membabitkan 12 anggota daripada BBP Tanah Merah dan BBP Kemahang dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT).
IMedikel TV






