Home Buletin Semasa LELAKI HILANG SELEPAS BOT TERBALIK DI SUNGAI GALAS

LELAKI HILANG SELEPAS BOT TERBALIK DI SUNGAI GALAS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang apabila bot yang dinaikinya dipercayai terbalik di Sungai Galas, berhampiran Kampung Batu 6, Renok, di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Ilham Che Mat Satar, 27, dilaporkan gagal dihubungi sebelum pihak polis menerima maklumat bahawa bot yang dinaikinya ditemui dalam keadaan terbalik di sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang melalui talian MERS 999 pada jam 2.16 petang.

“Seramai 10 anggota dari BBP Gua Musang bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Perkhidmatan Penyelamat dan Rawatan Kecemasan (EMRS), dua kenderaan Hilux dan sebuah bot aluminium digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 3.05 petang, pasukan bomba mengesahkan terdapat sebuah bot dalam keadaan terbalik manakala mangsa masih belum ditemui,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima taklimat daripada polis sebelum melancarkan operasi Surface Water Rescue (SWR) bagi mengesan mangsa.

“Pihak kami turut memohon bantuan daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta Unit K9,” katanya.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here