Home Sukan KRW FC YAKIN BEBAS SEKATAN PERPINDAHAN FIFA

KRW FC YAKIN BEBAS SEKATAN PERPINDAHAN FIFA

KUALA LUMPUR: Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) yakin isu sekatan perpindahan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dapat diselesaikan selepas semua dokumen berkaitan sudah diserahkan kepada badan induk bola sepak dunia itu.

Memetik laporan Harian Metro, Presiden kelab, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya sudah mengemukakan penjelasan lengkap kepada FIFA berhubung status sebenar kelab yang didakwa berpunca daripada kekeliruan membabitkan kes lama.

Menurutnya, KRW FC dan Kelantan FC adalah dua entiti berbeza dan isu yang timbul tidak sepatutnya dikaitkan dengan pengurusan kelab ketika ini.

“Kekeliruan timbul disebabkan masalah kelab lalu, yang sama sekali tidak ada kena mengena dengan kelab ketika ini. FIFA ada alasannya juga, kami tidak boleh menolak sepenuhnya.

“Kami kena menjelaskan keadaan itu, kami sudah serahkan dokumen bahawa kami tiada kena mengena dengan kelab terdahulu dan kelab itu masih wujud. 

“Mungkin di peringkat awal dahulu oleh kerana kami ingin meneruskan perjalanan kelab, di peringkat itu hanya seorang sahaja yang membuat tuntutan, kami bayar tuntutan itu.

“Pembayaran itu bukan bermakna kami bersalah, tapi kami bayar kerana nak meneruskan perjuangan,” katanya.

Beliau berkata, pihak kelab kini hanya menunggu keputusan daripada FIFA berhubung penjelasan yang telah dikemukakan.

Zaki turut memaklumkan, sekiranya sekatan perpindahan itu ditarik balik, KRW FC sudah mengenal pasti beberapa pemain yang akan dibawa masuk bagi memperkukuhkan skuad menjelang saingan Liga Super musim 2026/2027.

Sebelum ini, Kelantan RW sah menjadi pasukan ke-12 yang akan bersaing dalam Liga Super 2026/2027 selepas berjaya memenuhi semua syarat pelesenan yang ditetapkan oleh First Instance Body (FIB).-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here