Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Demi keselesaan isteri dan empat anak dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, dia sanggup menggunakan kayu terpakai untuk membina sebuah mahligai untuk keluarga.
Awang Che Mat, 37, dari Kampung Tok Rusa di sini, berkata kawasan yang didiami mereka sekeluarga berdepan ancaman banjir setiap tahun, dengan itu dia membina rumah tersebut lebih tinggi.
Menurutnya, kawasan yang didiaminya sering dinaiki air sehingga tiga kali setahun, malah episod banjir besar pada 2014 masih menjadi igauan buat mereka sekeluarga.

“Kalau buat rumah rendah memang tak boleh duduk. Itu sebab saya bina rumah tinggi walaupun terpaksa buat sedikit demi sedikit mengikut kemampuan,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV baru-baru ini.
Awang berkata, dia tidak mampu menyiapkan rumah itu dalam masa singkat kerana hanya bergantung kepada pendapatan sebagai buruh, termasuk mengambil upah membaiki rumah penduduk dan melakukan kerja-kerja kampung.
“Saya mengambil upah membaiki rumah, jadi kayu dan papan ini saya beli atau ambil dari rumah tersebut.
“Saya pilih kayu yang elok untuk membina rumah ini. Biasanya kayu atau papan itu saya beli daripada tuan rumah,”katanya.
Katanya, kos pembinaan yang semakin meningkat menyebabkan setiap peringkat pembinaan perlu dilakukan secara beransur-ansur mengikut wang yang ada.
Lebih meruntun hati apabila isterinya, Nur Azura A. Aziz, 34, anak bongsunya yang berusia empat tahun mengalami masalah kesihatan dan sensitif terhadap habuk, sekali gus menyukarkan proses pembinaan rumah diteruskan.

“Isteri dan anak bongsu mempunyai penyakit asthma kronik (penyakit keradangan kronik pada saluran pernafasan). Jadi, saya perlu memastikan kesihatan mereka baik terlebih dahulu sebelum saya menyiapkan rumah sedikit demi sedikit sebab mereka alah kepada debu dan habuk.
“Sebagai suami dan ayah, saya kena kuat walau apa juga ujian yang datang. Saya cuma mahu anak-anak dan isteri dapat tinggal di rumah yang selesa. Kalau suatu hari nanti saya sudah tiada, sekurang-kurangnya mereka ada tempat berteduh yang lebih baik,” katanya.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, setiap kali banjir melanda, mereka terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara dan menanggung pelbagai kerugian akibat peralatan serta barangan rumah rosak.
Menurutnya, kebanyakan perabot yang digunakan hanyalah barangan terpakai kerana dia tidak mampu membeli yang baharu setiap kali banjir melanda.
“Kalau rosak, kami guna semula apa yang masih boleh dipakai. Nak beli baru memang tak mampu.
“Saya juga ada membeli perabot dengan wang sumbangan daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” katanya.
Awang berkata, walaupun pernah memohon bantuan daripada pelbagai pihak, dia menerima segala ketentuan dengan hati terbuka jika permohonannya tidak berjaya.
Baginya, bantuan yang diterima melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sedikit sebanyak meringankan beban untuk membeli susu serta keperluan harian anak-anak.
“Sekurang-kurangnya dapat beli barang dapur dan keperluan anak-anak. Alhamdulillah, bantuan itu banyak membantu,” katanya.
Di sebalik segala kesusahan yang ditempuh, Awang tidak pernah berhenti menyimpan impian melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran dan mengubah nasib keluarga.
“Saya tak mahu anak-anak lalui kehidupan susah seperti saya. Biarlah mereka belajar bersungguh-sungguh dan berjaya. Itu sahaja harapan saya sebagai seorang ayah,” katanya.
IMedikel TV






